Apabila Pengurus Bertugas di Hotel Mercure ICON Singapore City Centre, Cik Nuryuleanee Ismail, berdepan dengan seorang tetamu yang rebah di dalam bilik hotelnya, beliau tidak tergopoh-gapah, sebaliknya, bertindak tenang dan mengikut arahan paramedik melalui panggilan video.
Tindakan pantas kakitangan berusia 39 tahun itu berjaya menyelamatkan nyawa tetamu berkenaan yang mengalami pembekuan darah di otaknya.
Atas sifat prihatin dan dedikasinya, Cik Nuryuleanee menerima Anugerah Emas Khidmat Cemerlang pada 5 Disember sempena Anugerah Baik Budi Nasional Anugerah Khidmat Emas ke-31 2025, di Hotel One Farrer.
Anugerah tahunan itu adalah bagi merai nilai baik budi kakitangan dalam industri hospitaliti.
Ia dihadiri oleh Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash, selaku tetamu terhormat.
Majlis itu anjuran bersama Pergerakan Baik Budi Singapura (SKM) dan Persatuan Hotel Singapura (SHA).
Cik Nuryuleanee merupakan antara tujuh penerima anugerah kecemerlangan dalam kalangan 143 penerima Anugerah Emas Perkhidmatan.
Sebagai Pengurus Bertugas di hotel tersebut, Cik Nuryuleanee, menjalankan tanggungjawabnya dengan penuh semangat, akur dalam melaksanakan amanah yang perlu digalas dalam memberi khidmat terbaik kepada tetamu.
Hanya dalam tempoh enam bulan selepas mula bertugas di Hotel Mercure ICON yang terletak di Club Street, kawasan Chinatown, beliau dinaikkan pangkat daripada Penolong Pengurus kepada Pengurus Bertugas, hasil komitmen dan kemampuan kepimpinannya.
Dalam tempoh enam bulan sebagai Penolong Pengurus, beliau satu-satunya pengurus yang bertugas syif malam dan bertanggungjawab mengendalikan 989 bilik hotel.
“Kadang-kadang sebagai satu-satunya pengurus pada syif malam, saya perlu membuat keputusan pantas dalam pelbagai situasi. Saya cuba lakukan yang terbaik dan pihak majikan nampak kemampuan saya,” kongsinya ketika ditemu bual Berita Harian (BH).
Walaupun tidak pernah mengambil kursus layanan tamu dalam pengajian posmenengah, beliau mempunyai minat membantu orang lain.
Sebelum berkhidmat di Hotel Mercure ICON, beliau merupakan Eksekutif Junior di V Hotel Bencoolen, dan sebelumnya berkhidmat dalam industri makanan dan minuman (F&B).
Mengimbau kejadian tetamu yang rebah itu, beliau berkata:
“Saya sedang menguruskan daftar masuk seorang tetamu apabila seorang wanita datang dalam keadaan panik meminta pertolongan.
“Saya terus bergegas ke bilik mereka dan sepanjang jalan saya berdoa agar semuanya baik.”
Walaupun berasa cemas, beliau mengetepikan emosinya dan menumpukan perhatian dalam usaha menyelamatkan tetamu berkenaan.
“Selepas kejadian itu, saya masih ingat isterinya memeluk saya. Peristiwa itu amat menyentuh hati saya,” ujarnya.
Cik Nuryuleanee mengakui tidak menyangka akan menerima Anugerah Emas Perkhidmatan (Khidmat Cemerlang) itu, dan menyifatkan memberikan khidmat terbaik kepada tetamu sebagai sebahagian daripada tugasnya.
Baginya, pengiktirafan tersebut menjadi penghargaan kepada nilai baik budi dan semangat memberi khidmat terbaik yang ditekankan dalam sektor perhotelan.
Seorang lagi penerima anugerah serupa ialah, Encik Muhammad Ridzwan Ramly, 40 tahun, Pengurus Bertugas di Oasia Hotel Novena, turut diiktiraf atas komitmen dan ketangkasannya membantu tetamu yang sakit.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg