Sebagai seorang pemimpin pasukan dengan sekumpulan pekerja bawahan, Encik Khairilanwar Baharudin sentiasa bersikap terbuka membimbing mereka di samping mengutamakan pembangunan peribadi mereka dalam kerjaya yang dibina.
Semangat dan komitmen membantu orang lain bermula sejak kecil, ketika menyaksikan sendiri ibu bapanya berhempas pulas mencari rezeki untuk keluarga.
Dedikasinya selaku Ketua Sumber Manusia bagi rantau Asia-Pasifik di syarikat perkhidmatan token pembayaran digital, Gemini Digital Payments Singapore, telah melayakkannya menerima Anugerah Fellowship SkillsFuture 2025.
Beliau, yang mempunyai 15 tahun pengalaman dalam bidang sumber manusia, dicalonkan Institut Karyawan Sumber Manusia (IHRP).
Anugerah ini mengiktiraf warga Singapura yang mencapai tahap kemahiran tinggi dalam bidang masing-masing, mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat, serta berperanan sebagai mentor kepada orang lain.
Encik Khairilanwar, 39 tahun, merupakan salah seorang daripada 16 warga Singapura yang menerima pengiktirafan tersebut pada majlis Anugerah Fellowship SkillsFuture dan Anugerah Majikan SkillsFuture di Gardens by the Bay, anjuran gerakan SkillsFuture Singapore, baru-baru ini.
Penerima anugerah ini menerima peruntukan dana sebanyak $10,000 bagi meneruskan usaha ke arah penguasaan kemahiran dan pembelajaran berterusan.
Di luar bidang sumber manusia, sukarelawan aktif ini turut memimpin pelbagai jawatankuasa, termasuk berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah Mendaki Sense dan Ketua Rangkaian Profesional Mendaki bagi bidang sumber manusia (HR).
Di luar kerjayanya itu dan di bawah Rangkaian Profesional Mendaki, beliau menyumbang dalam bidang HR dan teruja menghimpunkan lebih 1,000 karyawan muda Melayu/Islam dalam acara seperti siri Nusantara Talks yang menampilkan pemimpin serantau dalam berkongsi ilmu dan pengalaman bersama belia tempatan.
Minat beliau dalam memperkasa mobiliti sosial belia menjadi panduan dalam setiap langkah kepimpinannya, sebagaimana jelasnya: “Saya mahu membantu orang lain mencapai potensi penuh mereka, sama ada di tempat kerja mahupun dalam masyarakat.”
Sebagai pemimpin sumber manusia dalam sektor teknologi, beliau turut memperjuangkan dasar kepelbagaian dan keterangkuman di tempat kerja.
“Saya sedar ramai jurutera wanita yang berkemampuan dan berpotensi tinggi tetapi kurang diwakili dalam kepimpinan. Kini, sebagai peneraju HR, saya ingin memastikan dasar kami menyokong penyertaan kaum Hawa,” ujarnya.
Encik Khairilanwar turut mempunyai tiga pensijilan profesional dalam bidang HR daripada Persatuan bagi Pengurusan Sumber Manusia (SHRM-SCP), sebuah persatuan karyawan sumber manusia antarabangsa; Institut Berkanun Bagi Kakitangan dan Pembangunan, sebuah institut karyawan HR di Britain; dan Institut HR Australia, institut profesional HR di Australia.
Beliau kini bercadang menggunakan anugerah yang diterima bagi melanjutkan pengajian dalam bidang Sarjana Undang-Undang di Universite Paris-Pantheon-Assas di Perancis.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg