Setelah lebih tiga tahun berkhidmat sebagai Ketua Eksekutif (CE) di Akademi Home Team (HTA), peranan dan cabaran baru menanti Encik Anwar Abdullah.
Encik Anwar, yang telah menyerahkan cokmar kepada penggantinya, Encik Wilson Lim, pada 2 Januari, memutuskan untuk berehat sementara meneroka peluang baru.
Sebelum ini, beliau telah berkhidmat dengan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) selama kira-kira 28 tahun.
Antara sumbangannya termasuk memperkenalkan konsep respons berperingkat SCDF, sistem Komunikasi Pengurusan Insiden Bersepadu serta sistem Kawalan dan Arahan untuk mempermudah operasi semasa insiden kritikal.
Majlis Perubahan Pucuk Pimpinan itu, yang berlangsung pada 2 Januari di HTA, disaksikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Encik Pang Kin Keong.
Berucap dalam majlis tersebut, Encik Anwar berkongsi rasa bangga kerana dapat memimpin HTA sepanjang tempoh pertumbuhan dan inovasi, serta berperanan penting dalam perjalanan transformasi Pasukan Home Team.
“Peranan unik HTA dalam menyatukan semua Jabatan Pasukan Home Team bagi perjalanan pembelajaran yang berterusan ini memang sukar ditandingi.
“Tidak banyak akademi di dunia yang boleh dibandingkan dengan akademi kita.
“Saya berbesar hati kerana telah memimpin HTA dalam tempoh pertumbuhan dan inovasi ini, dengan kerjasama Jabatan Home Team dan rakan kongsi yang dipercayai daripada sektor swasta dalam perjalanan transformasi Pasukan Home Team kami,” kongsi beliau, yang akan menyambut hari lahirnya yang ke-60 pada 11 Januari.
Sejak menggalas jawatan sebagai CE pada Ogos 2021, beberapa projek telah dilaksanakan di bawah kepimpinannya untuk mempertingkatkan sistem latihan para pegawai.
Antaranya termasuk menerokai teknologi di mana pegawai Home Team akan menjalani latihan simulasi bersama avatar kecerdasan buatan (AI) dan pelancaran Bilik Darjah Bijak untuk menyokong latihan kededua pengajar dan pelatih di HTA dalam format fizikal, maya dan hibrid.
Encik Anwar berpendapat bahawa kesinambungan antara manusia dengan teknologi adalah satu keperluan untuk mencapai hasil yang lebih cekap, terutama dalam menangani cabaran keselamatan yang semakin rumit.
“Satu perkara utama yang selalu saya tekankan adalah bahawa teknologi tidak boleh diabaikan.
“Walaupun teknologi mempunyai potensi yang besar, ia tidak boleh menggantikan manusia.
“Sebaliknya, ia berfungsi sebagai pemangkin, membolehkan kita mencapai matlamat dengan lebih cekap, lebih pantas dan dengan hasil yang lebih baik.
“Sama ada teknologi baru muncul atau AI (kecerdasan buatan) generatif, teknologi ini terus berkembang, dan tugas kita adalah untuk memanfaatkannya sebaik mungkin,” ujar bapa dua anak berusia 26 dan 23 tahun itu.
Apabila ditanya tentang rancangan seterusnya, Encik Anwar mengukir senyuman sambil berkata:
“Saya tidak sedang mencari pekerjaan. Fokus utama saya sekarang adalah untuk mengisi semula tenaga dan melakukan perkara-perkara yang selama ini tidak sempat saya lakukan.
“Saya merancang untuk melancong, meluangkan masa bersama isteri, melibatkan diri dalam kegiatan sukan dan riadah, serta bersantai.
“Itu adalah perancangan utama saya untuk tiga bulan akan datang, sementara saya mempertimbangkan beberapa pilihan untuk langkah seterusnya.”
Encik Wilson Lim, yang sebelum ini merupakan Pengarah Jabatan Perancangan dan Pertubuhan di Pasukan Polis Singapura (SPF), akan mengambil alih jawatan sebagai CE secara rasmi pada 11 Januari.
Memperingati sumbangan Encik Anwar dalam memikul tanggungjawab itu, beliau yang berusia 52 tahun, berkata:
“Anwar telah membina asas yang kukuh bagi HTA, menjadikannya lebih bersedia untuk menjadi universiti korporat yang berfikiran jauh untuk Pasukan Home Team. Saya sangat berterima kasih kepada Anwar atas sumbangannya.”
“Saya juga banyak belajar daripadanya, terutamanya mengenai pentingnya membina kepercayaan, khususnya dalam memastikan kepercayaan awam terhadap Pasukan Home Team.”
“
“Saya berbesar hati kerana telah memimpin HTA dalam tempoh pertumbuhan dan inovasi ini, dengan kerjasama Jabatan Home Team dan rakan kongsi yang dipercayai daripada sektor swasta dalam perjalanan transformasi Pasukan Home Team kami.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg