Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Akademi Home Team lancar bilik darjah bijak pertama, tingkat pengalaman belajar

Kamera video AI, pengesan suara yang boleh siar sesi latihan secara langsung atau rakam sesi latihan antara ciri yang ditampilkan
Sep 19, 2024 | 6:50 PM
Bilik Darjah Bijak pertama Akademi Home Team (HTA) dilengkapi dengan kamera video yang dipertingkatkan dengan kecerdasan buatan (AI) dan sensor pencahayaan.
Bilik Darjah Bijak pertama Akademi Home Team (HTA) dilengkapi dengan kamera video yang dipertingkatkan dengan kecerdasan buatan (AI) dan sensor pencahayaan. - Foto ST

Kededua pengajar dan pelatih di Akademi Home Team (HTA) boleh menjangkakan latihan dan pengalaman pembelajaran yang lebih dipertingkat, dengan pelancaran Bilik Darjah Bijak yang pertama.

Inisiatif itu dilancarkan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dalam satu majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan Latihan Akademi Home Team (HTA) pada 19 September.

Beliau hadir di majlis tersebut selaku tetamu terhormat.

Bilik Darjah Bijak itu direka untuk menyokong latihan dalam format fizikal, maya dan hibrid.

Antara ciri-ciri bilik darjah tersebut ialah kamera video berperantara kecerdasan buatan (AI) dengan pengesan suara yang boleh siar sesi latihan secara langsung atau merakam sesi latihan untuk webinar.

Semasa sesi ucapan beliau, Dr Faishal berkata: “HTA telah mempertimbangkan dengan teliti semua aspek persekitaran bilik darjah, termasuk akustik yang dipertingkatkan, pencahayaan dan pengurangan kebisingan, untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang sesuai.”

Di keliling bilik darjah itu juga terdapat lima panel bijak – berukuran 65 inci (kira-kira 165.1 sentimeter) dan 86 inci (kira-kira 218.44 sentimeter) – yang juga skrin sentuh.

Ia dilengkapi dengan alat digital dan aplikasi peta minda seperti Mindomo dan Miro untuk membolehkan pembelajaran dan penglibatan yang berkesan.

Mengulas inisiatif Bilik Darjah Bijak itu, Ketua Eksekutif HTA, Encik Anwar Abdullah, menekankan komitmen HTA dalam memperkasakan pengajar mereka dengan teknologi dan sumber terkini.

“HTA tetap komited untuk memperkasakan pengajar Home Team kami dengan sumber dan teknologi terkini, membolehkan mereka memberikan latihan yang memberi impak dalam semua format sama ada fizikal, maya, atau hibrid.

“Bilik Darjah Bijak kami yang dipertingkatkan akan menyokong misi kami untuk terus membaiki mutu latihan dalam Home Team, memastikan pengajar kami dilengkapi dengan kemudahan yang berkualiti untuk menyampaikan pengalaman pembelajaran yang berkesan dan menarik,” ujar beliau.

Menurut satu kenyataan HTA, lebih banyak Bilik Darjah Bijak akan dibina dalam beberapa fasa, dengan fasa pertama sebanyak 31 bilik darjah yang dijangka siap pada September 2025.

Sementara itu, seramai 17 pengajar Home Team dan lapan unit latihan diiktiraf di majlis Anugerah Kecemerlangan Latihan Home Team itu, yang diadakan di HTA di 501 Old Choa Chu Kang Road pada 19 September.

Anugerah tersebut bertujuan untuk mengiktiraf individu cemerlang dalam masyarakat latihan Home Team dan sumbangan mereka.

Seramai 11 antara 17 pengajar yang telah diiktiraf adalah pengajar Melayu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg