Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ketua Hakim: Semua peguam ada peranan kekalkan kepercayaan pada kedaulatan undang-undang

Peguam bukan pengamal undang-undang juga harus mainkan tanggungjawab
Apr 21, 2025 | 6:22 PM
Ketua Hakim Sundaresh Menon berkata sembarang kelemahan dan silap pertimbangan boleh menjejas kepercayaan dan keyakinan orang ramai terhadap sistem perundangan secara keseluruhan.
Ketua Hakim Sundaresh Menon berkata sembarang kelemahan dan silap pertimbangan boleh menjejas kepercayaan dan keyakinan orang ramai terhadap sistem perundangan secara keseluruhan. - Foto ST

Semua peguam, termasuk yang bukan pengamal undang-undang dan tidak mewakili sesiapa di mahkamah, memainkan peranan penting dalam memastikan kedaulatan undang-undang berfungsi dengan sihat, ujar Ketua Hakim Sundaresh Menon.

Sembarang kelemahan dan silap pertimbangan boleh menjejas kepercayaan dan keyakinan orang ramai terhadap karyawan perundangan dan sistem perundangan secara keseluruhan, kata beliau.

Peguam tidak mengamalkan undang-undang tidak dibenarkan mewakili pelanggan di mahkamah atau memberi nasihat guaman kepada anak guam, tetapi boleh mengambil laluan kerjaya berbeza, seperti menjadi peguam dalaman di sesebuah syarikat atau pertubuhan atau menyertai bidang akademik.

Ketua Hakim Menon menekankan peri penting mengekalkan kepercayaan dalam kerjaya undang-undang, memandangkan konsep kedaulatan undang-undang semakin teruji sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata demikian pada 21 April kepada kumpulan pertama peguam yang diiktiraf di bawah rangka kerja baru yang memberikan fleksibiliti kerjaya lebih luas kepada siswazah undang-undang, lapor The Straits Times.

Sebelum ini, siswazah undang-undang perlu lulus peperiksaan peguam dan menamatkan latihan amali enam bulan di firma guaman sebelum mereka dibenarkan menjadi pengamal undang-undang.

Di bawah rangka kerja baru itu, siswazah undang-undang boleh diterima sebagai peguam tidak mengamalkan undang-undang selepas lulus peperiksaan peguam.

Hanya mereka yang ingin menjadi pengamal undang-undang perlu menjalani satu tempoh latihan amali, yang kini dilanjutkan kepada setahun.

Dalam ucapannya, Ketua Hakim Menon berkata rangka kerja baru itu sebahagian daripada pendekatan lebih tersusun dan terarah dalam membantu peguam muda menjalani latihan.

Beliau mengaitkan rangka kerja tersebut kepada laporan sebuah jawatankuasa yang dibentuk pada 2016 untuk mengkaji semula program latihan karyawan bagi peguam muda.

Antara cadangan utama jawatankuasa itu ialah memisahkan penerimaan siswazah menjadi peguam daripada penamatan kontrak latihan amali.

Menurut Ketua Hakim Menon, langkah tersebut akan memberikan fleksibiliti lebih luas kepada lulusan undang-undang dalam menentukan laluan kerjaya masing-masing.

Cadangan lain termasuk meningkatkan piawaian dan memperketat peperiksaan Badan Peguam, dan melanjutkan tempoh latihan amali daripada enam bulan kepada setahun.

Beliau berkata Persatuan Undang-Undang Singapura dan Akademi Undang-Undang Singapura juga sedang melaksanakan pelbagai daya usaha untuk membantu peguam muda membina kerjaya berjaya, mampan dan memuaskan.

Walaupun program latihan karyawan baru itu merupakan satu perubahan sistemik yang asas, Ketua Hakim Menon menegaskan bahawa peguam bukan pengamal undang-undang masih merupakan pegawai mahkamah yang memainkan peranan dalam pentadbiran keadilan.

Dalam melaksanakan peranan itu, mereka mempunyai tanggungjawab utama kepada mahkamah, kepada piawaian kerjaya itu, dan kepada orang ramai, katanya.

Beliau berkata demikian dalam konteks masyarakat peguam dalaman, yang merupakan sebuah kumpulan besar berjumlah sekitar 4,800 pada April 2024.

Peguam dalaman boleh memberi kesan langsung terhadap operasi harian entiti tempat kerja mereka, katanya.

Memberi contoh kejadian di Britain dan Australia yang boleh merosakkan dan menggugat kepercayaan terhadap profesion undang-undang dan malah kedaulatan undang-undang, Ketua Hakim Menon berkata:

“Lebih penting sekarang daripada sebelum ini, kita semua – baik peguam mahupun hakim – perlu berusaha ke arah mendapatkan kepercayaan dan keyakinan masyarakat yang kita berkhidmat, bagi memastikan relevansi berterusan kedaulatan undang-undang.”

Lebih 350 peguam dijadual diterima menjadi peguam dalam tiga sesi pada 21 dan 22 April.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg