Anak muda Islam Singapura yang berhasrat bekerja dalam bidang undang-undang kini boleh mendapat bimbingan melalui sebuah program mentor yang baru dilancarkan oleh AMP Singapura.
Rangkaian Pementoran Undang-Undang Muslim (MLMN) itu dilancarkan pada 10 April dengan matlamat memberi peluang kepada golongan muda belajar tentang bidang undang-undang dengan sokongan pakar guaman daripada pelbagai firma guaman.
Inisiatif akar umbi ini memberi tumpuan pada kepentingan mentor, perwakilan dan membuat keputusan.
“Program MLMN menawarkan peluang yang jarang ada kepada individu yang bercita-cita menjadi pakar undang-undang, untuk melihat dunia sebenar amalan undang-undang,” kata pengasas MLMN, Pengarah Urusan Emerald Law LLC, Encik Rizuan Yasin, yang juga dan Anggota Lembaga AMP.
Selama enam bulan, dari April hingga September, peserta akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan dua mentor akan ditugaskan kepada tiga mentee supaya setiap peserta dapat mengenali lebih ramai mentor.
“Inisiatif seperti Rangkaian Pementoran undang-undang Muslim menunjukkan semangat menyumbang kembali. Di AMP, kami percaya dalam menggembleng tenaga karyawan untuk kebaikan masyarakat dan negara kita.
“Menyokong inisiatif-inisiatif dari peringkat akar umbi seperti ini selaras dengan misi kami hendak memupuk kepimpinan dan meningkatkan semangat masyarakat kita melalui pelibatan bermakna.
“Dalam kerjaya yang mementingkan kejelasan, ketetapan dan integriti, pendedahan seperti ini amat bermakna,” kata pengerusi AMP Singapura, Encik Fathurrahman Dawoed.
Dengan rangkaian baru bersama mentor mereka, peserta juga diharap mempunyai lebih banyak peluang untuk mendapatkan pekerjaan di firma guaman.
Beberapa mentor MLMN bekerja di firma guaman atau memiliki syarikat guaman sendiri.
Dengan itu, ada peluang bagi peserta mengikuti mentor ke tempat kerja mereka, dapat menyertai program latihan sambil belajar (internship) dan mengenali lebih ramai pakar undang-undang.
Bimbingan mentor MLMN juga dapat memberi pandangan baru kepada peserta mengenai perjalanan-perjalanan berbeza dalam industri undang-undang.
Melalui program ini, peserta dapat memahami proses pengurusan firma guaman untuk membantu membuat keputusan kerjaya lebih wajar.
“Mempunyai bimbingan daripada seseorang yang berpengalaman – bukan tentang kerjaya sahaja, bahkan pandangan peribadi dan keseimbangan antara kerja dan hidup – membuat perbezaan yang besar,” kata Encik Mohamed Hussein Mohamed Saddiq, 23 tahun, pelajar undang-undang Universiti Nasional Singapura (NUS), yang juga bakal mentee.
Program itu juga menjadi satu cara bagi pelajar yang bakal memasuki dunia pekerjaan meluaskan pengalaman mereka dan menguatkan pemahaman mereka tentang industri itu.
MLMN ditubuhkan oleh Encik Rizuan dengan sokongan anggota jawatankuasa rangkaian itu – peguam komersial firma APAC, Energy Exemplar, Encik Zamiq Azmeer; Pengarah Urusan Deansgate Barakah Law Corporation, Encik Ezra Bunyamin; dan mahasiswa undang-undang NUS, Encik Kamal Ashraf.
Seramai 11 mentor dan 32 mentee telah mendaftarkan diri untuk menyertai program itu.
Sesiapa berminat menjadi mentee boleh mendaftar di https://bit.ly/AMPxMLMN2025, manakala yang ingin menjadi mentor boleh mendaftar di https://bit.ly/MLMN2025mentors.
Pendaftaran dibuka hingga akhir Mei.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg