Setelah berkhidmat selama 34 tahun, Ketua Pramugara Singapore Airlines (SIA) Encik Abdul Wahid Ahmad Jamil, 57 tahun, kini sedia bersara.
Sebaik mendarat di Lapangan Terbang Changi selepas penerbangan akhirnya dari Shanghai, China baru-baru ini, beliau menerima satu kejutan manis apabila kepulangannya disambut hampir 30 anggota keluarga dan teman sekerjanya.
Bercakap dengan Berita Harian (BH), Encik Abdul Wahid berkata beliau terharu dengan sambutan meriah itu, yang tidak disangkanya.
Video beliau pulang dari penerbangan terakhirnya sebagai pramugara yang dikongsikan di TikTok telah ditonton sebanyak 115 ribu kali.
“Seperti biasa saya menunggu isteri dan keluarga terdekat saya untuk makan malam bersama, tetapi pada hari itu, saya tidak melihat mereka. Apabila saya menoleh ke kanan, saya terharu melihat sudah ramai yang menunggu saya, bukan saja anak beranak saya, malah ipar duai saya juga,” ujar beliau yang mempunyai tiga orang anak, dan baru menerima cucu kedua.
Seramai 28 anggota keluarganya menunggunya dengan ghairah, siap dengan papan tanda yang menunjukkan ‘Happy Retirement Day’ (Selamat Hari Bersara), yang disiapkan oleh ipar-duainya.
Menurut Encik Wahid, ini adalah pekerjaan pertama sejak umurnya 22 tahun dan walaupun beliau dapat melanjutkan pelajaran sehingga berjaya memegang Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), tidak pernah terlintas di hatinya untuk meninggalkan pekerjaannya sebagai pramugara.
“Saya meminta untuk bersara awal oleh kerana masalah kesihatan, dan saya rasa memang sudah tiba masanya untuk saya berundur diri, tetapi saya memang sangat sayang dengan pekerjaan saya yang telah membawa saya ke seluruh pelusuk dunia dan bertemu dengan ramai selebriti dan orang-orang penting,” katanya.
Encik Wahid pernah berjumpa dengan Raja Cambodia, Naib Presiden Amerika Syarikat (pada waktu itu) Al Gore, pemain saxaphone Kenny G, antara lain.
“Antara yang saya sukakan tentang kerja saya adalah apabila kita dapat menyentuh hati penumpang pesawat, apalagi bila mereka menyambut hari jadi dan kami sebagai kru akan menyiapkan kek dan menggembirakan mereka…benda-benda itu membuatkan kerja kami bermakna…” tambahnya.
Pekerjaannya pernah membawanya keliling dunia tetapi kota yang paling beliau gemari ialah Vienna, Austria dan Toronto, Canada.
“Dulu SIA pernah ada penerbangan ke Toronto melalui Vienna, dan saya suka bila mereka mengadakan konsert klasikal di tengah-tengan taman di Vienna. Di Toronto pula, saya gemar menghayati alam semula jadi, dan dapat melawat Niagara Falls juga,” ujarnya.
Encik Wahid berkata beliau akan berehat selama sebulan setengah sebelum mengambil langkah seterusnya.
“Saya berura-ura untuk mengajar, dalam bidang ‘Hospitality ‘, tetapi pada waktu sekarang, biarlah saya berehat dahulu,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg