Topik diikuti
Pergi ke BHkuKeuntungan bersih Singtel susut 55% kepada $1.54 bilion; keuntungan asas naik 10%
Keuntungan bersih Singtel susut 55% kepada $1.54 bilion; keuntungan asas naik 10%
Syarikat gergasi telekomunikasi Singtel pada 13 November melaporkan kemerosotan keuntungan bersih sebanyak 55 peratus kepada $1.54 bilion bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir September, berbanding $3.4 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Ini terutamanya disebabkan ketiadaan keuntungan luar biasa bersih sebanyak $2.21 bilion yang dicatatkan setahun lalu hasil penjualan sebahagian pegangannya dalam Airtel dan penggabungan Intouch-Gulf Energy.
Keuntungan bersih asas meningkat 10 peratus kepada $1.49 bilion, berbanding $1.35 bilion setahun lalu, tidak termasuk keuntungan dan kerugian luar biasa.
Peningkatan itu didorong prestasi lebih kukuh NCS, Digital InfraCo dan Optus, serta sumbangan lebih tinggi daripada syarikat bersekutu serantau Airtel dan AIS.
Hasil operasi kumpulan itu meningkat 6 peratus kepada $7.29 bilion pada separuh pertama tahun kewangan, berbanding $6.91 bilion pada tahun sebelumnya.
Singtel berkata, berdasarkan kadar pertukaran mata wang tetap, hasil operasi meningkat 1.4 peratus, manakala keuntungan bersih asas meningkat 16 peratus.
Lembaga pengarah meluluskan dividen interim sebanyak $0.09 sesaham, merangkumi dividen teras sebanyak $0.071 dan dividen hasil realisasi nilai sebanyak $0.019.
Jumlah itu 10 peratus lebih tinggi berbanding $0.082 sesaham yang diumumkan setahun lalu.
Kumpulan itu turut menaikkan unjuran pertumbuhan pendapatan sebelum faedah dan cukai syarikat operasinya (OpCo Ebit) bagi setahun penuh daripada kadar pertengahan satu digit kepada kadar pertengahan hingga tinggi satu digit.
Ketua Eksekutif (CE) Kumpulan Singtel, Encik Yuen Kuan Moon, berkata prestasi operasi yang lebih kukuh mencerminkan pertumbuhan Ebit dua digit di NCS, Digital InfraCo dan Optus, di samping sumbangan mantap daripada syarikat bersekutu serantau.
“Kami menaikkan unjuran bagi setahun penuh susulan prestasi keputusan kewangan ini,” katanya.
Saham Singtel ditutup naik $0.01 atau 0.2 peratus kepada $4.15 pada 12 November.