Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Keyakinan ibu bapa dapat dipertingkat menerusi KelasMateMatika

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Keyakinan ibu bapa dapat dipertingkat menerusi KelasMateMatika

Feb 25, 2024 | 05:30 AM



Pada mulanya, anak-anak Cik Bazilah Mohamad Yusof menghadapi kesukaran dalam mata pelajaran Matematik.

Namun, selepas beliau menghantar anak-anaknya menyertai program KelasMateMatika (KMM) Yayasan Mendaki, anak-anaknya bukan sahaja lulus dalam mata pelajaran itu bahkan tidak lagi berasa tertekan apabila mengikuti pelajaran Matematik di sekolah.

Cik Bazilah, 36 tahun, ibu lima anak kini mendaftarkan ketiga-tiga anaknya ke program KMM.

Beliau sangat berpuas hati dengan program itu kerana ia menguatkan pemahaman numerasi anak-anaknya.

Pada tahun 2018, Cik Bazilah memasukkan kedua-dua anak perempuannya, Aaleyah Zarin Maswari dan Zalfa Amelia Maswari, yang masing-masing berusia enam tahun dan lima tahun pada waktu itu, menyertai program KMM di Kelab Masyarakat (CC) Nee Soon East. Beliau juga membawa anaknya yang ketiga ke program KMM.

ANAK HADAPI
KESUKARAN BELAJAR

Pada awalnya, Cik Bazilah menyedari anak sulungnya, Aaleyah Zarin, menghadapi kesukaran dalam menguasai subjek Matematik. Justeru, beliau mengambil keputusan menyertai KMM bersama suami, Encik Maswari Mohamed Razali, dan anak-anaknya.

“Mula-mula, saya kurang keyakinan untuk membimbing anak sulung saya terutamanya ketika dia menghadapi masalah menyelesaikan kerja sekolah Matematik.

“Oleh itu, saya memutuskan untuk sertai program KMM bagi meningkatkan kemahiran pembelajaran Matematik untuk kami sekeluarga.

“Alhamdulillah KMM amat menggalak penglibatan ibu bapa bagi mendorong pembelajaran anak-anak kita,” jelasnya.

TUNJUK
PERUBAHAN KETARA

Selepas menghadiri sesi KMM, dua anak perempuannya, Aaleyah Zarin dan Zalfa Amelia mempamerkan keputusan yang positif apabila lulus dalam subjek Matematik di sekolah rendah mereka.

Cik Bazilah menambah:

“Setelah menghadiri KMM, saya dapati anak saya kurang rasa tertekan apabila menyelesaikan masalah Matematik. Malah, mereka anggap Matematik sebagai subjek yang mudah. Mereka juga nampak bersemangat dan berusaha menyelesaikan kerja sekolah sendiri.”

Lantas, Cik Bazilah mengambil keputusan untuk mendaftarkan anak perempuan ketiganya pula, Aafiya Zayda, ke kelas KMM.

Lebih membanggakan, Aafiya Zayda, sembilan tahun, berjaya mendapat markah ‘proficient’ untuk peperiksaan Matematik ketika Darjah 1 dan mengekalkan prestasi yang baik di Darjah 2.

“Aafiya Zayda juga menunjukkan keupayaan luar biasa pada usia empat tahun. Seawal usia tersebut, kakak-kakaknya masih kurang faham pecahan (problem sums).


“Tetapi, dia sudah mampu menyelesaikan soalan pecahan dengan baik pada waktu itu. Ini adalah hasil yang baik daripada penyertaan awal program KMM,” katanya lagi.

SESI INTERAKTIF YANG
MENYERONOKKAN

Cik Bazilah sekeluarga mula menghadiri kelas fizikal KMM pada tahun 2018 sebelum ia beralih ke platform Zoom akibat penularan wabak Covid-19.

Walaupun kelas dijalankan secara dalam talian, anak-anak Cik Bazilah sentiasa tidak sabar menantikan sesi Zoom bersama para fasilitator Mendaki.

Fasilitator KMM berkomunikasi menggunakan pelbagai konsep interaktif seperti sesi bercerita untuk menarik minat kanak-kanak.

“Saya dapat belajar Matematik dengan lebih mendalam lagi di KMM, terutama sekali apabila fasilitator menggunakan kegiatan atau kaedah pembelajaran yang berlainan.

“Teknik yang diajarkan juga mudah difahami dan ia membuatkan saya lebih yakin untuk menjawab soalan Matematik di sekolah,” seloroh Aafiya Zayda, pelajar Darjah 3 di Sekolah Rendah Naval Base.

SESUAI UNTUK KANAK-KANAK DAN IBU BAPA

Cik Bazilah juga mengakui, teknik-teknik berasaskan Pengalaman Pembelajaran Perantara (MLE), yang menggunakan subjek konkrit sebagai bahan pengajaran sangat berkesan.

“Kelas KMM bukan sahaja sesuai untuk kanak-kanak, malah memperkasa ibu bapa dengan teknik-teknik mengajar Matematik.

“Ibu bapa digalak menggunakan peralatan rumah atau rutin harian seperti membaca masa dan memasak untuk mengajar Matematik kepada anak-anak.

“KMM ternyata amat berkesan dalam membantu anak-anak saya menguasai Matematik. Oleh itu, saya telah pun mendaftarkan anak keempat, Zafreen Adelia Maswari, lima tahun, dalam sesi Zoom KMM pada awal 2022.

“Saya juga akan mendaftarkan anak kelima, Muhammad Aafif Maswari, dalam program bermanfaat ini apabila dia berusia empat tahun kelak,” terang Cik Bazilah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >