Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Keychain’ kucing berkebaya percuma di mesin layan diri mulai Mac 2025

Dec 5, 2024 | 11:48 AM
Setelah pengguna menyelesaikan permainan di mesin layan diri ini, ia akan mengeluarkan kotak misteri atau ‘blind box’ berisi gantungan kunci yang memaparkan seekor kucing berpakaian kebaya.
Setelah pengguna menyelesaikan permainan di mesin layan diri ini, ia akan mengeluarkan kotak misteri atau ‘blind box’ berisi gantungan kunci yang memaparkan seekor kucing berpakaian kebaya. - Foto ST

Dari Mac hingga Mei 2025, orang ramai boleh mendapatkan gantungan kunci, atau keychain, bertemakan kebaya secara percuma di dua mesin layan diri, yang akan berpindah dari satu kawasan ke kawasan lain di serata Singapura.

Mesin layan diri itu akan mengeluarkan kotak misteri, atau blind box, berisi gantungan kunci yang memaparkan seekor kucing berpakaian kebaya – pakaian tradisional wanita yang popular di Asia Tenggara – setelah pengguna menyelesaikan permainan di mesin tersebut.

Rekaan gantungan kunci itu akan diberikan secara rawak oleh mesin tersebut.

Gantungan kunci itu hasil rekaan empat pelajar tahun akhir jurusan komunikasi visual daripada Politeknik Nanyang (NYP) – Cik Kirsten Discaya, 19 tahun; Cik Seng Le Ting, 20 tahun; Cik Nicole Lee, 20 tahun; dan Cik Giselle Chionh, 19 tahun – sebagai sebahagian daripada projek bersama Lembaga Warisan Negara (NHB) untuk meningkatkan kesedaran ramai tentang kebaya dan kepentingannya dari segi budaya.

Daya usaha oleh NHB dan NYP ini menyusuli kejayaan usaha bersama lima negara – Singapura, Brunei, Indonesia, Malaysia dan Thailand – untuk mendapatkan pengiktirafan kebaya dalam Senarai Perwakilan Unesco bagi Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan (ICH).

Perkara tersebut diumumkan Unesco pada 4 Disember semasa mesyuarat jawatankuasa antara pemerintah yang dianggotai 24 negara di Asuncion, Paraguay, lapor The Straits Times (ST).

Rekaan pelajar NYP itu diilhamkan oleh hasil kerja pereka kebaya tempatan seperti pengurus Rumah Kim Choo, Encik Raymond Wong; pemilik Baju by Oniatta, Cik Oniatta Effendi; dan pemilik Kebaya by Ratianah, Cik Ratianah Tahir.

Terdapat empat rekaan yang memaparkan seekor kucing dengan personaliti berbeza yang mengenakan kebaya dengan gaya tradisional serta moden.

Setiap kotak disertakan dengan kad berisi maklumat tentang kebaya.

Menurut NHB, maklumat lanjut mengenai lokasi mesin layan diri itu akan dikongsikan di saluran media sosial mereka kelak.

Para pelajar NYP itu meluahkan rasa bangga mereka kerana dapat berperanan dalam mendidik orang ramai tentang kebaya.

“Amat menggembirakan apabila kami dapat menyerlahkan lagi warisan budaya Singapura ini,” kata Cik Chionh.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg