Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Khidmat EWL disambung semula selepas gangguan hampir sejam

Oct 10, 2024 | 5:10 PM
Menurut SMRT, kereta api generasi pertama itu terhenti kira-kira 12.30 tengah hari dan semua penumpang selamat turun di stesen Outram Park.
Menurut SMRT, kereta api generasi pertama itu terhenti kira-kira 12.30 tengah hari dan semua penumpang selamat turun di stesen Outram Park. - Foto ST

Perjalanan penumpang kereta api di sebahagian Laluan Timur-Barat (EWL) tergendala pada 10 Oktober, selepas sebuah kereta api rosak berhampiran stesen MRT Tiong Bahru.

Sebuah kereta api Kawasaki Heavy Industries (KHI) generasi pertama dalam perjalanan ke barat terhenti kira-kira 12.30 tengah hari, dan semua penumpang selamat turun di stesen Outram Park, kata SMRT dalam satu catatan Facebook pada 10 Oktober.

Pengendali itu berkata pada 1.14 tengah hari bahawa kerosakan telah dipulihkan dan perkhidmatan kereta api disambung semula pada 1.22 tengah hari.

Insiden itu berkaitan dengan kerosakan elektrik pada kereta api dan ia telah dipindahkan ke depoh, kata SMRT. 

SMRT sebelum ini berkata di Facebook bahawa penumpang perlu menambah 25 minit pada masa perjalanan mereka dari Outram Park ke stesen Queenstown.

Mereka juga perlu menambah 20 minit pada masa perjalanan dari Queenstown ke stesen Bugis.

Perkhidmatan bas biasa percuma disediakan antara stesen Outram Park dengan Queenstown.

“Kami memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dalam perjalanan anda,” kata SMRT.

Pengurus projek, Encik Norman Goh, 46 tahun, yang menaiki kereta api di stesen Outram Park, berkata kereta api itu berhenti secara mengejut ketika dalam perjalanan menuju ke stesen Tiong Bahru, kemudian ia bergerak semula ke stesen Outram Park.

“Anehnya, kereta api itu menyenget apabila ia berhenti bergerak,” kata Encik Goh, yang bersama bapanya yang berkerusi roda.

SMRT berkata di Facebook bahawa kecondongan itu adalah kerana landasan itu berada di cerun dan di selekoh ke arah stesen Tiong Bahru.

“Kereta api itu stabil,” tambah pengendali itu.

Penumpang lain yang ditemu duga The Straits Times (ST) berkata mereka tidak perasan bahawa terdapat gangguan kereta api, tetapi menyedari bahawa kereta api mengambil masa lebih lama untuk tiba di stesen.

Terdahulu, perkhidmatan kereta api di bahagian EWL antara stesen Jurong East dengan Bouna Vista terganggu selama enam hari selepas kereta api yang rosak menyebabkan kerosakan teruk pada landasan dan peralatan tepi landasan pada 25 September.

Kereta api rosak itu juga merupakan kereta api KHI generasi pertama, dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata bahawa kededua pihak berkuasa dan SMRT akan melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap kereta api KHI.

Gangguan tersebut adalah di antara gangguan yang paling teruk dalam sejarah 37 tahun sistem MRT Singapura, dan menjejas sekitar 2.6 juta penumpang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg