Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

LTA siasat punca gangguan kereta api Laluan Timur-Barat

Oct 2, 2024 | 7:50 PM
Gangguan perkhidmatan Laluan Timur-Barat telah menjejas lebih 2.1 juta penumpang dalam tempoh enam hari. Ia berlaku disebabkan oleh kereta api rosak yang mengakibatkan kerosakan teruk pada landasan, melumpuhkan perkhidmatan antara stesen Jurong East dengan Buona Vista.
Gangguan perkhidmatan Laluan Timur-Barat telah menjejas lebih 2.1 juta penumpang dalam tempoh enam hari. Ia berlaku disebabkan oleh kereta api rosak yang mengakibatkan kerosakan teruk pada landasan, melumpuhkan perkhidmatan antara stesen Jurong East dengan Buona Vista. - Foto ST

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah memulakan siasatan berhubung gangguan selama enam hari di Laluan Timur-Barat dari 25 hingga 30 September.

Siasatan itu akan meliputi punca komponen jatuh dari bahagian bawah kereta api yang rosak, prosedur pengesanan kerosakan dan usaha pemulihan perkhidmatan.

Siasatan itu dijangka selesai dalam beberapa bulan, dan dapatannya akan dikongsi kepada umum, kata LTA pada 2 Oktober.

Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, dalam satu catatan di Facebook berkata:

“Siasatan itu akan meneliti beberapa bidang, termasuk mencari punca kegagalan kotak gandar; memeriksa prosedur pengesanan kerosakan dan menangani insiden; dan menyemak usaha pemulihan perkhidmatan dan pengurangan gangguan.”

LTA berkata ia juga akan melantik satu panel penasihat pakar untuk menyemak dapatan dan memberi nasihat teknikal.

Pertama, LTA akan meneliti punca utama mengapa kotak gandar (axle box) - komponen pada bahagian bawah kereta api - jatuh dari kereta api yang rosak, dengan melakukan kajian forensik tentang sifat kegagalan kotak gandar dan mengenal pasti faktor penyumbang lain.

Kedua, ia akan meneliti pengesanan kerosakan dan prosedur pengendalian insiden semasa kejadian itu untuk mengetahui sama ada tindakan sewajarnya telah diambil.

Ia akan berbuat demikian dengan mengkaji semula prosedur sedia ada, dan mencadangkan langkah-langkah yang akan meningkatkan pengesanan kerosakan sedemikian, mengurangkan gangguan kepada perkhidmatan, dan mencegah kerosakan pada infrastruktur rel.

Ketiga, LTA akan menyemak usaha pemulihan perkhidmatan, serta langkah-langkah pengurangan semasa gangguan, untuk mengesahkan sama ada respons yang diambil oleh pengendali kereta api SMRT adalah pantas dan cukup menyeluruh.

Ini termasuk menyemak kelajuan pelancaran khidmat bas penghubung, keberkesanan pengumuman mengenai gangguan, kejelasan panduan yang diberikan kepada penumpang mengenai pilihan pengangkutan alternatif, seperti perkhidmatan bas penghubung dan kereta api ulang-alik, serta pengurusan orang ramai secara keseluruhan.

Secara berasingan, Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata pada 2 Oktober bahawa Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan akan menjalankan siasatan keselamatan bebas terhadap gangguan itu.

Gangguan kepada perkhidmatan Laluan Timur-Barat itu, yang menjejas lebih 2.1 juta penumpang dalam tempoh enam hari, disebabkan oleh kereta api rosak yang mengakibatkan kerosakan teruk pada landasan, melumpuhkan perkhidmatan antara stesen Jurong East dengan Buona Vista.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg