Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Khidmat jagaan warga emas diperkemas, diurus bawah satu bumbung

Nov 16, 2023 | 7:44 PM
LEBIH MUDAH: Penyedia khidmat penjagaan tunggal akan dilantik di setiap kawasan bagi menyelaraskan semua khidmat penjagaan yang diperlukan untuk warga tua.
LEBIH MUDAH: Penyedia khidmat penjagaan tunggal akan dilantik di setiap kawasan bagi menyelaraskan semua khidmat penjagaan yang diperlukan untuk warga tua. - Foto ST

Mulai suku kedua 2024, warga tua di sini boleh menjangkakan perkhidmatan bagi keperluan penjagaan mereka diperkemas dan diuruskan di bawah satu bumbung.

Penyedia khidmat penjagaan tunggal akan dilantik di setiap kawasan estet perumahan bagi menyelaraskan semua khidmat penjagaan yang diperlukan untuk golongan ini, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, pada Khamis.

Inisiatif itu, yang diusahakan Kementerian Kesihatan (MOH) sebagai sebahagian daripada Sihat Menua SG, bertujuan memperkukuh sokongan untuk warga tua dengan keperluan penjagaan.

Sihat Menua SG adalah program nasional untuk menyokong warga tua menua dengan lebih baik di rumah dan dalam masyarakat.

Di bawah inisiatif baru itu, MOH akan membantu warga tua dan penjaga mereka mempunyai perjalanan penjagaan yang lebih lancar dengan mempunyai satu titik hubungan untuk memenuhi pelbagai keperluan penjagaan daripada penyedia yang berbeza.

Titik hubungan itu akan memainkan peranan sebagai penyedia khidmat penjagaan tunggal, menyelaraskan penjagaan merentasi penyedia yang berbeza.

Ia akan menggunakan alat pemeriksaan penjagaan yang diseragamkan, untuk merancang dan menangani keperluan penjagaan warga emas.

Encik Ong, dalam sidang media bagi program Sihat Menua SG pada Khamis, menyifatkan landskap penjagaan warga tua masa kini sebagai “agak berpecah-pecah”.

Buat masa ini, warga tua dengan pelbagai keperluan penjagaan mungkin harus berinteraksi dengan pelbagai penyedia penjagaan dan menjalani pemeriksaan berulang daripada setiap penyedia.

“Ini menyebabkan tekanan yang tidak perlu, dan kesulitan (untuk keluarga mereka),” kata Encik Ong.

Memberi contoh, beliau berkata warga emas yang memerlukan penjagaan selepas keluar dari hospital tidak lama lagi boleh ke penyedia perkhidmatan yang dilantik dalam masyarakat dan hanya perlu menjalani pemeriksaan sekali sahaja.

Penyedia tunggal itu kemudian akan membangunkan pelan penjagaan holistik, yang mungkin melibatkan khidmat beberapa penyedia, dan menyelaraskan semua khidmat yang diperlukan. 

“Apabila telah pulih, beliau akan dipindahkan dan digalakkan ke Pusat Menua Aktif atau pusat penjagaan warga tua untuk menjalani aktiviti yang dapat memulihkannya dengan segera... Ini semua berlaku antara warga tua dengan penyedia penjagaan tunggal yang dilantik, tanpa perlu rujukan atau pemeriksaan tambahan,” kata Encik Ong.

Perubahan itu akan dilaksanakan secara bertahap dan diperluaskan ke seluruh pulau kelak, tambah beliau.

Selain itu, MOH akan memberikan konsesi tenaga kerja asing untuk menangani cabaran tenaga kerja yang dihadapi sektor swasta yang menyediakan penyelesaian penjagaan untuk warga tua dalam masyarakat.

Pada September, MOH dan Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC), dengan sokongan Kementerian Tenaga Kerja (MOM), telah melancarkan permohonan bagi kotak percubaan untuk meneroka daya maju model penjagaan bersama baru untuk warga emas.

Lima syarikat telah dikenali pasti iaitu Red Crowns, St Bernadette Assisted Living, Econ Health & Wellness, Active Global Respite Care dan TS Care Services.

Kira-kira 800 warga tua dijangka meraih manfaat daripada inisiatif itu.

Bagi menggalak latihan dalam kalangan penjaga pula, sehingga $400 pada subsidi Geran Latihan Penjaga (CTG) dapat digunakan setiap tahun mulai 2024.

 Jumlah itu naik dua kali ganda berbanding $200 yang dibenarkan masa kini.

Penjaga juga boleh menggunakan kredit SkillsFuture mereka untuk membayar kursus latihan, kata MOH. 

Dengan itu, MOH merancang untuk menambah jumlah tempat latihan bersubsidi untuk penjaga kepada 4,400 setiap tahun merentasi 200 kursus, kata beliau lagi.

“Apabila telah pulih, beliau akan dipindahkan dan digalakkan ke Pusat Menua Aktif atau pusat penjagaan warga tua untuk menjalani aktiviti yang dapat memulihkannya dengan segera... Ini semua berlaku antara warga tua dengan penyedia penjagaan tunggal yang dilantik, tanpa perlu rujukan atau pemeriksaan tambahan.”
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg