Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Khidmat kirim wang berisiko jadi sasaran biaya pengganasan

Jul 1, 2024 | 8:34 PM
Agensi pemerintah juga mengenal pasti sistem pembayaran pantas rentas sempadan baru dan usaha mengumpul dana dalam talian, sebagai khidmat baru muncul yang berisiko disasarkan bagi pembiayaan keganasan.
Agensi pemerintah juga mengenal pasti sistem pembayaran pantas rentas sempadan baru dan usaha mengumpul dana dalam talian, sebagai khidmat baru muncul yang berisiko disasarkan bagi pembiayaan keganasan. - Foto ST

Penyedia khidmat kiriman wang, termasuk mereka yang menawarkan pembayaran dalam talian rentas sempadan dan khidmat kiriman wang tidak berlesen, menghadapi risiko tertinggi menjadi sasaran untuk membiayai pengganasan.

Demikian menurut laporan Penilaian Risiko Nasional Pembiayaan Keganasan (TFNRA) terkini yang diterbitkan pada 1 Julai oleh Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Dalam laporan tersebut, yang kali terakhir diterbitkan pada 2020, agensi tersebut juga mengenal pasti sistem pembayaran pantas rentas sempadan baru dan usaha mengumpul dana dalam talian, sebagai khidmat baru muncul yang berisiko disasarkan bagi pembiayaan pengganasan.

Sistem pembayaran pantas rentas sempadan termasuk perkhidmatan yang disediakan melalui aplikasi bank dan kod QR, lapor The Straits Times (ST).

Agensi tersebut menyatakan khidmat kiriman wang itu kini “muncul dalam radar” disebabkan kadar penggunaan Internet yang tinggi di Singapura, perbankan digital yang digunakan secara meluas, dan lonjakan dalam ekonomi digital di seluruh dunia yang didorong oleh pandemik Covid-19.

Ketiga-tiga agensi itu menyatakan bahawa khidmat kiriman wang amat popular dalam kalangan pekerja asing di Singapura yang mendapati syarikat penyedia khidmat kiriman wang di sini menawarkan mereka “khidmat kiriman wang yang menjimatkan dan cekap berbanding bank”.

Bagaimanapun, agensi tersebut menyatakan bahawa beberapa negara di rantau ini yang sering berurusan dengan ejen pengiriman wang tempatan, diketahui lebih terdedah kepada risiko pengganasan dan pembiayaan pengganasan.

Pada 2020, seorang lelaki Singapura berusia 36 tahun disabitkan atas kesalahan membiayai pengganasan kerana memindahkan $450 kepada seorang lelaki di Turkey yang dikaitkan dengan kumpulan ISIS, melalui syarikat kiriman wang Western Union.

Dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun sembilan bulan.

Laporan tersebut juga melahirkan kebimbangan mengenai kempen mengumpul dana dalam talian yang berasal dari luar negara.

Seorang pekerja binaan Bangladesh berusia 27 tahun dijatuhi hukuman penjara dua tahun lapan bulan pada 2022 kerana menderma hampir $900 melalui beberapa wadah dalam talian kepada pertubuhan pengganas di Syria pada 2020.

Dia disabitkan dengan lima tuduhan berkaitan pembiayaan pengganasan.

“Pihak berkuasa Singapura mendapati bahawa derma kepada kempen mengumpul dana dalam talian dari luar negara biasanya mengguna saluran pembayaran tradisional, termasuk penyedia khidmat pembayaran, pindahan bank atau wadah perbankan digital seperti kad kredit dan debit,” kata agensi itu.

Ia menambah bahawa MAS dan MHA telah mempergiat usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan sektor pembayaran dan perbankan mengenai risiko pembiayaan pengganasan yang dikaitkan dengan derma kepada kempen mengumpul dana dalam talian dari luar negara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg