Perkhidmatan kereta api di tujuh stesen MRT di Laluan Circle (CCL) akan beroperasi semula seperti biasa pada Selasa (27 Jun), lebih tiga minggu lebih awal dari dijadual, umum Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Isnin.
Stesen MRT terlibat ialah Dhoby Ghaut, Bras Basah, Esplanade, Promenade, Nicoll Highway, Marina Bay dan Bayfront.
Pada Mei, LTA berkata penumpang MRT di CCL boleh menjangka kelewatan hingga 30 minit dari 11 Jun hingga 20 Julai disebabkan pelaksanaan kerja penyelenggaraan di sebuah terowong.
Ia setelah pemeriksaan rutin mendapati sebahagian terowong CCL antara stesen Promenade dan Nicoll Highway “menghadapi tekanan lebih berat”.
Walaupun ini tidak menimbulkan risiko keselamatan ke atas operasi kereta api CCL, LTA berkata ia akan menjalankan kerja penyelenggaraan, termasuk memasang tonggak besi dalam bulatan terowong “bagi memastikan daya tahan jangka masa panjang terowong itu”.
Tetapi pada Isnin LTA berkata kerja penyelenggaraan akan siap lebih awal dari jadual.
“Kami gembira untuk melaporkan bahawa kerja penyelenggaraan akan disiapkan selewat-lewatnya malam ini,” kata LTA, sambil menambah: “Terima kasih atas kesabaran anda sepanjang sebulan lalu ini.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg