Khidmat Pos Kesihatan Masyarakat diperluas ke Masjid An-Nur, Yusof Ishak
Khidmat Pos Kesihatan Masyarakat diperluas ke Masjid An-Nur, Yusof Ishak
Khidmat Pos Kesihatan Masyarakat (CHP) akan diperluaskan ke Masjid An-Nur dan Masjid Yusof Ishak di Woodlands menjelang September 2026 untuk membawa khidmat dan keperluan penjagaan kesihatan lebih dekat kepada masyarakat, kata Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam.
Ini akan dilakukan dengan kerjasama NHG Health, dengan pelbagai perkhidmatan seperti nasihat kesihatan am, penilaian kesihatan asas, sokongan untuk gaya hidup sihat, pencegahan dan pengurusan penyakit, dan susulan selepas dibenarkan keluar dari hospital, akan disediakan.
Bercakap di perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Kesihatan (MOH) di Parlimen pada 5 Mac, Cik Rahayu berkata perkhidmatan tersebut akan disesuaikan mengikut keperluan masyarakat.
Contohnya, perundingan boleh dijalankan oleh jururawat masyarakat dan jurulatih kesihatan yang fasih berbahasa Melayu untuk membantu mengurangkan masalah komunikasi, terutamanya untuk warga emas.
“NHG Health juga akan mendapatkan maklum balas daripada para asatizah untuk memasukkan bimbingan berasaskan keagamaan ke dalam bengkel kesihatan.
“Dengan menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan di tempat-tempat yang biasa dikunjungi, serta dengan kerjasama daripada pemimpin agama dan masyarakat, penjagaan kesihatan akan menjadi lebih mudah diakses oleh masyarakat kita,” kata beliau.
Dalam pada itu, Cik Rahayu turut berkata NHG Health telah mempertingkatkan 11 CHP merentas Woodlands secara bertahap-tahap sejak awal 2026 demi menangani kadar kencing manis dan tekanan darah tinggi yang lebih tinggi di kawasan utara Singapura itu berbanding purata nasional.
Terletak dalam Pusat Penuaan Aktif (AAC), CHP yang dipertingkat itu, antara lain, akan menyediakan perkhidmatan seperti nasihat kesihatan umum, penilaian kesihatan asas dan sokongan bagi pencegahan dan pengurusan penyakit.

