Topik diikuti
Pergi ke BHkuKhidmat ulang-alik percuma tanpa pemandu ComfortDelGro di Punggol mulai 22 Jun
Khidmat ulang-alik percuma tanpa pemandu ComfortDelGro di Punggol mulai 22 Jun
Laluan 25 minit hubungkan tiga lokasi setiap hari
Khidmat ulang-alik percuma tanpa pemandu ComfortDelGro di Punggol mulai 22 Jun
Penduduk di Punggol dan juga bagi mereka yang ingin mencuba perkhidmatan ulang-alik percuma kenderaan tanpa pemandu yang dikendalikan syarikat pengangkutan ComfortDelGro (CDG) akan dapat berbuat demikian mulai 22 Jun.
Mengumumkan demikian pada 19 Jun, CDG dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata perkhidmatan tersebut akan disediakan setiap hari, dengan Isnin dan Jumaat dikhaskan buat kumpulan, keluarga dan mereka yang memerlukan bantuan.
Laluan selama 25 minit itu akan menghubungkan Blok 420A, Northshore Drive, Punggol Coast Mall dan One Punggol (stesen LRT Sam Kee).
Pada Julai, masa perkhidmatan yang lebih panjang iaitu 50 minit akan disediakan.
Tempahan diperlukan dan boleh dibuat menerusi pautan, https://zig.sg/driverless.
Kenderaan berautonomi (AV) dengan lima tempat duduk CDG dihasilkan firma pemanduan berautonomi China, Pony.ai.
Seorang pegawai keselamatan yang akan ditugaskan semasa perkhidmatan itu bersedia untuk campur tangan jika diperlukan.
Pelancaran pengangkutan awam percuma itu dibuat selepas percubaan berdasarkan undangan yang dijalankan mulai April lalu.
Setakat ini, lebih 1,500 penumpang, termasuk penduduk Punggol dan pemimpin akar umbi, telah mencuba perkhidmatan tersebut.
CDG merupakan salah satu daripada dua pengendali yang menawarkan perkhidmatan ulang-alik berautonomi di Punggol.
Ini adalah sebahagian daripada visi pihak berkuasa yang lebih luas untuk menyediakan AV dalam sistem pengangkutan Singapura.
Grab, pengendali pengangkutan ulang-alik AV yang lain di Punggol, telah memulakan percubaan berdasarkan undangan pada Januari lalu dan telah menawarkan pengangkutan awam percuma sejak 1 April.
Setakat 12 Jun, Grab telah menyediakan perkhidmatan kepada lebih 5,000 penumpang dan mencatatkan jarak pemanduan AV sejauh lebih 60,000 kilometer.
Meskipun Grab tidak komited untuk memulakan perkhidmatan pengangkutan ulang-alik berbayar di estet tersebut, namun laporan sebelum ini menyatakan khidmat itu akan bermula pada pertengahan 2026.
Grab akan mengenakan tambang tetap $4 setiap penumpang apabila perkhidmatan berbayar dimulakan.
CDG berkata pada 12 Jun bahawa ia belum menetapkan harga untuk perkhidmatannya.
