Bermula 21 Ogos, khutbah Jumaat akan diringkaskan buat sementara waktu sehingga makluman lanjut, kata Pejabat Mufti menerusi satu hantaran di Facebook pada hari yang sama.

Langkah ini bertujuan membantu memastikan keselesaan jemaah dalam menghadapi keadaan cuaca yang mencabar ketika ini.

Pejabat Mufti menambah bahawa khutbah pertama – yang biasanya sekitar enam hingga tujuh halaman – akan dikurangkan menjadi empat halaman.

Perubahan tersebut akan kekal buat sementara waktu sehingga makluman lanjut.

Menjelaskan sebab di sebalik perubahan itu, Pejabat Mufti berkata, ini kerana cuaca yang semakin panas di Singapura dengan beberapa kawasan juga telah mula mengalami jerebu.

Pejabat Mufti menasihatkan bahawa menjaga kesihatan dan mengelakkan kemudaratan adalah tanggungjawab asas bagi umat Islam.

Ia turut menukil beberapa hadis daripada Nabi Muhammad saw yang mengajar bahawa walaupun ibadah itu penting, keadaan jemaah juga perlu diambil kira.

Mengambil berat kesukaran individu dijelaskan dalam sepotong hadis Nabi saw yang bermaksud: “Apabila salah seorang daripada kamu memimpin solat, hendaklah beliau memendekkannya kerana di antara mereka ada orang yang lemah, orang sakit dan orang tua.” (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Rasulullah turut menitikberatkan keperluan jemaah di mana Baginda bersabda: “Setiap kali saya berdiri untuk solat, saya mahu memanjangkannya, tetapi apabila mendengar tangisan seorang anak, saya memendekkannya kerana saya tidak suka menyusahkan ibunya.” (Sahih al-Bukhari).

Selain itu, cuaca yang mencabar juga boleh dipertimbangkan menerusi hadis Baginda yang bermaksud: “Apabila cuaca terlalu panas, tangguhkanlah solat sehingga ia menjadi lebih dingin.” (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

“Semoga langkah ini dapat memudahkan para jemaah untuk berhimpun, beribadah dan kekal selesa dalam keadaan cuaca yang mencabar ini,” tambah Pejabat Mufti.