Sebanyak 17 projek yang diterajui badan masyarakat bagi membantu gelandangan mencapai perumahan stabil dan membina semula hubungan sosial, akan dirintis di bawah pusingan pertama Dana Inisiatif Kerjasama Tangani Isu Gelandangan (Path) Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Projek itu tertumpu pada usaha campur tangan awal, sokongan tersuai dan penyepaduan semula golongan ini dalam masyarakat, kata MSF dalam satu kenyataan pada 19 Ogos.

Ini termasuk usaha menyediakan laluan pekerjaan dan tempat perlindungan sementara lebih selamat, tambah kementerian itu.

MSF melancarkan Dana Path berjumlah $450,000 pada Januari untuk mengukuhkan sokongan bagi golongan gelandangan.

Ia menyediakan geran untuk menyokong pertubuhan mencuba huraian inovatif dalam menangani punca asas terhadap masalah gelandangan dan membantu golongan tersebut berusaha ke arah mempunyai kediaman yang lebih tetap dan stabil.

Menteri Pendidikan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Integrasi Khidmat Sosial, Encik Desmond Lee, berkata ia mengetengahkan inisiatif yang dilakukan rakan kongsi dalam menyediakan “penyelesaian bermakna dan bermanfaat” untuk golongan gelandangan.

Berucap di Majlis Penghargaan Rangkaian Rakan Kerja Mendekati dan Memperkasa Gelandangan (Peers) di hotel JEN Singapore Tanglin pada 19 Ogos, beliau berkata:

“Pada tahun-tahun mendatang, MSF akan bekerja rapat dengan lebih banyak rakan kongsi – untuk mencuba pendekatan baru, memperkukuh apa yang berkesan dan memperdalam kesan kolektif (bersama seluruh masyarakat).”

Sebahagian daripada rangkaian Peers mengendalikan program tempat tidur tenang dan selamat atau Safe, Sound Sleeping Places (S3P).

Acara itu mengiktiraf rakan kongsi baru yang menyertai rangkaian Peers sepanjang dua tahun lalu dan rakan kongsi yang giat menyokong gelandangan sepanjang lima tahun lalu dengan Anugerah Rakan Kongsi Lima Tahun.

Antara penerima Anugerah Rakan Kongsi Lima Tahun termasuk Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan Masjid Assyakirin, manakala rakan kongsi baru dalam rangkaian Peers termasuk Changi Airport Group (CAG).

Encik Desmond berkata pada awalnya, rangkaian Peers tertumpu pada usaha mendampingi golongan gelandangan.

Namun, beliau berkata pemerintah akan mempergiatkan lagi usaha ini termasuk mendapatkan penglibatan lebih banyak rakan kongsi yang “mempunyai keupayaan saling melengkapi” supaya bantuan lebih mudah diakses oleh gelandangan.

Ini di samping memperluaskan jangkauan kepada gelandangan menerusi Pegawai Perkhidmatan Sosial (SSO) yang akan bekerjasama lebih erat dengan kumpulang pendamping dan menyokong usaha inovasi daripada pihak masyarakat, ujarnya.

“Bagi institut pengajian tinggi (IHL) pula, dengan mengenal pasti bahawa sesetengah gelandangan juga adalah pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan politeknik, ia juga akan menyediakan sokongan kepada pelajar gelandangan untuk bantu mereka mencari pilihan penginapan segera, seperti asrama pelajar atau apartmen kakitangan politeknik jika ia tersedia.

“(Pihak IHL) juga akan bekerja rapat sebagai sebahagian daripada rangkaian Peers,” tambah beliau.

Salah satu penerima geran Dana Path ialah Masjid Hang Jebat, yang menerima sebanyak $1,904.

Masjid yang terletak di Queenstown itu menyediakan tempat perlindungan di bawah S3P sejak 2021.

Ketika dihubungi, penolong pengurus masjid itu, Encik Ahmad Hanafi Muji, berkata dana itu akan digunakan untuk menambah baik ruangan bagi gelandangan, dengan menambah alat mesin basuh, pengering baju, tilam, bantal dan kabinet berkunci.

“Matlamat kami bukan sekadar menyediakan tempat berteduh sementara, tetapi untuk menjadi sebahagian daripada rangkaian sokongan masyarakat yang membantu mereka (golongan gelandangan) mencapai kehidupan yang lebih stabil dan berdikari,” katanya.

Masjid Hang Jebat merupakan antara dua masjid, selain Masjid Assyakirin di Jurong, buat masa ini menyediakan tempat perlindungan di bawah S3P.

Encik Hanafi menambah kemudahan masjid itu mampu menempatkan sehingga tiga individu gelandangan pada satu-satu masa, apabila mereka dirujuk oleh MSF dan ia telah membantu lebih daripada lapan individu sejak menyertai program S3P.

Penghuni terakhir menamatkan tempoh penginapan di masjid itu pada Jun 2025, ujarnya, dengan ruang kemudahan itu kemudian dinaik taraf menggunakan dana umum masjid supaya ia kekal dalam keadaan baik dan sesuai digunakan.

“Matlamat kami bukan sekadar menyediakan tempat berteduh sementara, tetapi untuk menjadi sebahagian daripada rangkaian sokongan masyarakat yang membantu mereka (golongan gelandangan) mencapai kehidupan yang lebih stabil dan berdikari.”
Encik Ahmad Hanafi Muji, penolong pengurus Masjid Hang Jebat, yang menyediakan tempat perlindungan di bawah program ‘Safe, Sound Sleeping Places’ (S3P).