Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MOH sedia laksana aturan kapasiti tambahan di hospital awam susulan perubahan dasar ‘rider’ IP

Ini memandangkan sesetengah pesakit mungkin pilih dapatkan rawatan di hospital awam bagi kurangkan pembayaran bersama
Jan 12, 2026 | 7:15 PM
ong ye kung, parlimen, rider, insurans IP
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, menjawab soalan beberapa Anggota Parlimen berkaitan perubahan ke atas dasar perlindungan insurans tambahan atau ‘rider’ bagi Pelan Perlindungan Insurans Bersepadu (IP) pada 12 Januari. - Foto MDDI

Perubahan ke atas dasar perlindungan insurans tambahan atau rider bagi Pelan Perlindungan Insurans Bersepadu (IP) yang diumumkan baru-baru ini mungkin memberi kesan ke atas penggunaan penjagaan swasta dan awam serta masa menunggu.

Dalam jangka pendek, sesetengah pesakit yang juga pemilik IP baru ini mungkin memilih untuk mendapatkan rawatan di hospital awam bagi mengurangkan pembayaran bersama mereka.

Akur akan kemungkinan tersebut, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata kementeriannya akan memantau keadaan tersebut dan bersedia melaksanakan pengaturan kapasiti tambahan bagi rawatan terpilih.

Menjawab soalan yang diajukan beberapa Anggota Parlimen (AP) berkaitan pengumuman perubahan dasar rider IP, Encik Ong berkata:

“Usaha untuk mengembangkan kapasiti kesihatan awam – katil hospital dan kapasiti pesakit luar – sedang dijalankan untuk menyokong permintaan penduduk yang semakin menua.

“Jika perlu, kita mungkin perlu melaksanakan kapasiti tambahan bagi rawatan terpilih.”

Dalam jawapannya di Parlimen pada 12 Januari, Encik Ong menekankan kepentingan perubahan ke atas dasar rider IP yang diumumkan pada November 2025 itu.

Pemegang polisi pelan insurans kesihatan boleh menjangkakan bayaran premium perlindungan tambahan atau rider yang lebih rendah mulai 1 April.

Namun, pemegang polisi perlindungan tambahan baru perlu menanggung kos perubatan yang harus dibayar dahulu oleh pesakit atau ‘deductible’ sebanyak $1,500 hingga $3,500, bergantung pada kelas wad di hospital.

Perubahan tersebut diumumkan di tengah-tengah kos penjagaan kesihatan swasta yang semakin meningkat.

Encik Ong mendedahkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beban pesakit telah beralih daripada hospital swasta kepada hospital awam.

“Pada 2010, (perbezaan beban pesakit) antara hospital swasta dengan awam ialah 15:85. Pada 2020, ia menjadi 12:88. Kini, ia adalah 10:90.

“Salah satu sebab utama ialah peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta,” katanya.

Dr Hamid Razak (GRC West Coast-Jurong West) dalam soalan susulannya menyuarakan kerisauan golongan doktor dalam hospital awam berikutan perubahan pada dasar rider IP itu.

“Masa menunggu bagi pesakit bersubsidi semakin meningkat dan mereka bimbang dengan rider baru ini... individu yang mempunyai rider swasta akan beralih kepada penjagaan kesihatan awam kerana perkongsian kos yang lebih tinggi,” kata Dr Hamid, seorang pakar bedah ortopedik yang pernah berkhidmat dalam sektor penjagaan kesihatan awam.

Dalam responsnya, Encik Ong berkata beliau sama-sama prihatin, namun memberi jaminan bahawa Kementerian Kesihatan (MOH) memantau dengan dekat akan waktu menunggu, kapasiti serta kesejahteraan kakitangan penjagaan kesihatan.

Menjawab pertanyaan Cik Poh Li San (Sembawang West) pula tentang bagaimana keluarga yang menghadapi bil perubatan besar akan disokong jika mereka tidak mampu menampung pembayaran bersama, Encik Ong menekankan bahawa enam daripada 10 penuntut rider tidak perlu membayar wang tunai selepas menggunakan dana MediSave mereka.

“Kami mengunjurkan bahawa enam daripada 10 penuntut rider tidak perlu membayar wang tunai selepas MediSave. Bagi baki empat daripada 10 individu, majoriti mereka yang perlu membayar wang tunai akan membayar $1,000 atau kurang, bahkan semua individu akan bayar $3,000 atau kurang,” jawab Encik Ong.

Encik Ong turut menjelaskan bahawa keputusan untuk mengubah dasar rider IP itu ialah untuk mengelak pemberian khidmat penjagaan kesihatan secara berlebihan dan penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berlebihan.

“Kita perlu meletakkan penjagaan kesihatan dan insurans swasta pada landasan yang lebih mampan. Perubahan pada parameter rider IP memastikan terdapat disiplin yang lebih tinggi dalam penggunaan penjagaan kesihatan, sambil melindungi pesakit daripada bil yang terlampau besar,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg