Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

KidSTART beri sokongan emosi kepada ibu tunggal besarkan anak

Aug 4, 2024 | 5:01 PM
Cik Anhkashah Khamis (kanan) dan kakaknya, Cik Anhdauwiyah Khamis (kiri) menyertai acara KidSTART PlayDate yang diadakan di Our Tampines Hub pada 4 Ogos bersama (tengah) ibu mereka, Cik Jamaliah Ahmad, dan anak-anak mereka (dari kiri), Maija Jade Queara Aspelin, Nur Aaliesya Levienia dan Nur Aryyanna Qaysara.
Cik Anhkashah Khamis (kanan) dan kakaknya, Cik Anhdauwiyah Khamis (kiri) menyertai acara KidSTART PlayDate yang diadakan di Our Tampines Hub pada 4 Ogos bersama (tengah) ibu mereka, Cik Jamaliah Ahmad, dan anak-anak mereka (dari kiri), Maija Jade Queara Aspelin, Nur Aaliesya Levienia dan Nur Aryyanna Qaysara. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Membesarkan tiga anak berusia antara tiga dengan 19 tahun secara sendiri bukanlah mudah bagi ibu tunggal, Cik Anhkashah Khamis, yang kadangkala mendapati dirinya berasa tertekan hingga menjejas kesejahteraan dirinya.

Dalam usaha menyara hidup keluarganya dengan keadaan kewangan yang sempit, wanita berusia 37 tahun itu cuba meraih pendapatan menerusi pekerjaan sambilan sebagai pelakon tambahan.

Namun, beliau mendapatinya sukar untuk meluangkan masa bermutu bersama anak-anaknya.

Bagaimanapun setelah diperkenal kepada program KidSTART pada 2021, Cik Anhkashah mengakui dapat melihat perbezaan ketara dalam kehidupannya,

Beliau bukan sahaja menerima sokongan dari segi emosi, malah dalam pembangunan awal anak-anaknya.

Cik Anhkashah diperkenal kepada KidSTART ketika anak keduanya menyertai prasekolah, My First Skool.

Setelah itu, anak bongsunya turut menyusul menyertai program tersebut.

Beliau merupakan antara keluarga yang mengambil bahagian dalam acara KidSTART PlayDate di Our Tampines Hub pada 4 Ogos.

Menurutnya, acara tersebut dapat mengeratkan lagi hubungannya bersama anak-anaknya dan memberinya peluang untuk meluangkan masa bersama mereka.

Namun melebihi acara itu sendiri, KidSTART banyak membantu ibu tunggal itu meniti liku-liku dalam kehidupannya terutamanya menerusi kunjungan tetap oleh pengamal KidSTART ke rumahnya, bukan sahaja untuk bertanya khabar tentang keadaan dirinya bahkan turut membantu dalam pembesaran anak-anaknya.

“Pada mulanya, saya agak ragu-ragu tentang kunjungan ke rumah tersebut tetapi saya kemudian sedar bahawa ia baik dan sangat membantu terutamanya pada hari apabila saya letih menguruskan tiga anak saya.

“Di akhir kunjungan tersebut, saya rasa lega dan kadangkala mereka membawa kegiatan untuk anak-anak saya.

“Kehadiran mereka untuk mendengar luahan hati saya memainkan peranan untuk menaikkan semangat diri saya dan pada masa yang sama, mereka melihat pembangunan anak-anak saya dan beri maklum balas,” ujarnya.

Kini, Cik Anhkashah menganggap KidSTART sebagai sebahagian penting kehidupan beliau, malah menandakan acara anjuran program itu di kalender agar tidak terlepas menghadirinya.

(Barisan belakang, dari kiri) Cik Anhkashah Khamis dan kakaknya, Cik Anhdauwiyah Khamis, menyertai acara KidSTART PlayDate yang diadakan di Our Tampines Hub pada 4 Ogos bersama ibu mereka, Cik Jamaliah Ahmad, dan anak-anak mereka (dari kiri), Nur Aryyanna Qaysara, Maija Jade Queara Aspelin, dan Nur Aaliesya Levienia.
(Barisan belakang, dari kiri) Cik Anhkashah Khamis dan kakaknya, Cik Anhdauwiyah Khamis, menyertai acara KidSTART PlayDate yang diadakan di Our Tampines Hub pada 4 Ogos bersama ibu mereka, Cik Jamaliah Ahmad, dan anak-anak mereka (dari kiri), Nur Aryyanna Qaysara, Maija Jade Queara Aspelin, dan Nur Aaliesya Levienia. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Dek keberkesanan yang dirasakan, beliau telah menyarankan program tersebut kepada kakaknya, Cik Anhdauwiyah Khamis, 39 tahun, yang baru mendaftarkan diri dalam KidSTART pada 2024.

Juga seorang ibu tunggal kepada seorang anak perempuan berusia enam tahun, Cik Anhdauwiyah mengakui alangkah baiknya jika beliau tahu tentang program itu lebih awal.

“Acara sebegini memberikan saya lebih waktu untuk mengeratkan hubungan bersama anak perempuan saya.

“Saya kerja dari Isnin hingga Jumaat, jadi dengan acara seperti ini, ada sesuatu yang dapat saya nanti-nantikan,” ujar guru sambilan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg