Lebih ramai kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah akan menerima bantuan sedang program KidSTART – yang bertujuan memberi sokongan dalam aspek seperti perkembangan kanak-kanak, pemakanan dan interaksi antara ibu bapa dengan anak – diperluas ke Tampines dan Pasir Ris.
Berucap di edisi kedua siri KidSTART PlayDate bagi 2024 di Our Tampines Hub pada 4 Ogos, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkongsi bahawa program tersebut telah meninggalkan kesan positif ke atas lebih 8,500 kanak-kanak.
Ramai daripada mereka menunjukkan peningkatan dalam pembangunan sosioemosi berbanding dengan rakan sebaya yang tidak menjalani program tersebut, katanya.
“Hasilnya bukan sahaja dari segi anak tersebut dapat membaca dan menulis, itu juga penting, tetapi bagaimana kita melengkapi ibu bapa dengan keupayaan untuk menjadi sebahagian daripada usaha pembangunan anak tersebut dari segi pembelajaran sosioemosi mereka,” ujar Encik Masagos.
Di bawah program KidSTART, ibu bapa menerima sokongan yang disesuaikan secara peribadi menerusi kunjungan rumah oleh pengamal KidSTART yang dilatih.
Mereka juga akan mendampingi kaum ibu dari tempoh mereka mengandung hingga anak itu berusia enam tahun.
Acara KidSTART PlayDate, yang menampilkan pelbagai kegiatan menyeronokkan, persembahan pentas interaktif dan permainan sesuai bagi kanak-kanak hingga enam tahun, sebelum ini diadakan di One Punggol pada Mei.
Ditemui Berita Harian (BH), Ketua Pegawai Eksekutif KidSTART, Cik Rahayu Buang, berkata bahawa menerusi acara di Punggol, mereka menyaksikan lonjakan pendaftaran bagi program KidSTART sebanyak 40 peratus.
Seiring itu, beliau berharap lebih ramai penduduk di Tampines dan Pasir Ris juga akan tahu tentang program tersebut dan mendaftarkan diri secara percuma sekiranya mereka layak, memandangkan ia sudah dibawa dekat ke kawasan kejiranan mereka.
Melahirkan harapan agar lebih ramai kaum ibu mendaftar seawal mereka hamil, Cik Rahayu berkata:
“Kami menyediakan sokongan jangka panjang, dan kehadiran (sokongan KidSTART) seawal mungkin adalah lebih baik sebenarnya kerana sains telah menunjukkan bahawa tempoh kandungan juga sangat penting buat pembangunan si anak.
“Justeru, jika ibu-ibu mengamalkan pemakanan yang baik dan mereka tahu jaga diri mereka secara mental serta fizikal, anak yang bakal lahir nanti akan berada di kedudukan yang lebih baik.
“Dengan sokongan berterusan KidSTART, mereka akan tahu bagaimana untuk berinteraksi dengan anak tersebut supaya mereka dapat membangun dengan baik dalam lima, enam tahun pertama kehidupan mereka.”
Kira-kira 600 peserta terdiri daripada ibu bapa dan kanak-kanak mengambil bahagian dalam kegiatan menyeronokkan dan mesra keluarga seperti senaman Zumba, yoga dan istana ambul atau ‘bouncy castle’.
Ibu bapa juga dapat menimba pengetahuan tentang usaha KidSTART seperti kunjungan ke rumah dan bagaimana pengamal dilatih bagi menyokong keluarga dalam pembangunan awal kanak-kanak.
Program KidSTART kini ditawarkan di 21 bandar di serata Singapura.
Sebelum ini, pemerintah berkata program tersebut juga akan ditawarkan di lagi tiga bandar iaitu Queenstown, Clementi dan Jurong East menjelang 2025.
“
“Hasilnya bukan sahaja dari segi anak tersebut dapat membaca dan menulis, itu juga penting, tetapi bagaimana kita melengkapi ibu bapa dengan keupayaan untuk menjadi sebahagian daripada usaha pembangunan anak tersebut dari segi pembelajaran sosioemosi mereka.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg