Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

KidSTART perkasa ibu, pertingkat perkembangan anak-anak

Jan 26, 2024 | 6:15 PM
BERI BIMBINGAN: Pengamal program KidSTART, Cik Nur Hidayah Hashim (kiri), bergambar bersama peserta program, Cik Wahidah Ahmad, dan anak-anak Cik Wahidah.
BERI BIMBINGAN: Pengamal program KidSTART, Cik Nur Hidayah Hashim (kiri), bergambar bersama peserta program, Cik Wahidah Ahmad, dan anak-anak Cik Wahidah. - Foto BH oleh KHALID BABA

Walaupun memiliki pengalaman luas sebagai ibu lapan anak, Cik Wahidah Ahmad merasakan dirinya masih banyak lagi yang perlu dipelajari tentang cara membesarkan kanak-kanak.

Kesedaran ini mendorongnya untuk menyertai KidStart pada 2021, di mana beliau memperoleh kemahiran dan pengetahuan berharga tentang pembangunan awal kanak-kanak, kemahiran bahasa dan strategi keibubapaan.

Program KidStart, yang menyediakan sokongan dalam pemakanan berkhasiat dan strategi keibubapaan, akan diluaskan ke sembilan lagi bandar menjelang 2025.

Ini bermakna lebih ramai kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah akan dibantu sepanjang dua tahun ini menerusi program yang memberi sokongan terhadap pertumbuhan mereka.

Demikian diumumkan oleh Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling, pada 26 Januari.

Semasa temu bual bersama Berita Harian, Cik Wahidah berkongsi pengalaman positif mendapat sokongan dan bimbingan daripada pengamal KidStart, Cik Nur Hidayah Hashim, 42 tahun.

Cik Wahidah, 41 tahun, ialah suri rumah dan mempunyai lapan anak berusia antara satu hingga lapan tahun. Suami beliau, Encik Masindra Gunawan Amin, 51 tahun, satu-satunya pencari nafkah dan bekerja sebagai polis bantuan. Pendapatan bulanan isi rumah mereka sekitar $3,200.

Tiga anaknya yang berumur tiga hingga tujuh tahun telah menyertai KidStart.

“Pada awalnya, saya berasa kurang yakin bagaimana cara berkomunikasi secara efektif dengan anak saya dan ingin memperbaiki aspek itu. Saya juga tidak menyedari terdapat pelbagai strategi untuk berkomunikasi dengan bayi, walaupun pada usia yang sangat muda,” kata Cik Wahidah.

Dengan bimbingan Cik Hidayah, beliau mempelajari bahawa komunikasi yang berkesan dengan kanak-kanak melibatkan memberikan mereka pelbagai pengalaman dan peluang.

Seperti contoh, beliau menggunakan pelbagai objek harian seperti botol atau permainan ‘Lego’ untuk menunjukkan kepada anaknya kegunaan yang berbeza.

“Saya mendapati dengan melakukan ini, saya dapat membantu anak saya, untuk melihat dunia dengan cara yang lebih luas. Mereka mula berfikir kreatif dan pamer minat untuk meneroka,” tambah beliau.

Selain itu, Cik Wahidah juga mempelajari tentang peringkat pembangunan kanak-kanak dan tidak perlu risau jika anaknya tidak mencapai sesuatu peringkat perkembangan pada masa yang sama dengan kanak-kanak lain.

“Mereka berkembang pada kadar mereka sendiri, dan tidak perlu terlalu risau. Setiap langkah kecil adalah suatu pencapaian,” jelas Cik Hidayah.

Cik Hidayah juga menggalakkan adik-beradik yang lebih tua dalam keluarga Cik Wahidah untuk memainkan peranan aktif dalam perkembangan adik-adik mereka, memupuk persekitaran yang memupuk untuk semua kanak-kanak.

Melalui program yang dianjurkan KidStart seperti acara perkelahan What’s For Lunch, ia bukan sahaja memupuk keceriaan dan keakraban di kalangan anggota keluarga Cik Wahidah, bahkan mencipta kenangan yang berharga bagi anak-anak.

Selain itu, KidStart juga menyediakan bantuan praktikal seperti bekalan makanan segar bulanan dan lampin, meringankan beban kewangan keluarga.

“Saya bersyukur atas sokongan ini... Cik Hidayah tidak hanya menjadi penyokong, malah sentiasa dekat untuk bertukar-tukar pendapat, memberikan kata-kata positif dan memberikan dorongan,” ujar Cik Wahidah.

Cik Hidayah turut memuji Cik Wahidah kerana sentiasa menunjukkan kesungguhan dan komitmen dalam memahami keperluan anaknya serta melibatkan diri secara aktif dalam pembangunan mereka.

Sebagai pengamal KidStart yang bekerjasama dengan lebih dari 20 keluarga, Cik Hidayah percaya bahawa setiap keluarga mempunyai kelebihan dan potensi unik mereka sendiri dan dapat terlibat secara aktif dalam pembangunan anak mereka.

Kajian yang ditauliahkan oleh Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) telah menunjukkan kesan positif program itu ke atas keluarga, kata Cik Sun.

“Selaras dengan gerakan Melakar Hala Tuju Singapura (Forward SG), KidStart memperkasa ibu bapa, memberikan mereka pengetahuan dan kemahiran untuk menyokong perkembangan anak-anak dengan lebih baik,” tambah beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg