Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kilang bahan api penerbangan mampan bakal dibangun di Pulau Bukom

Projek pertama di seluruh Asia Tenggara mula pada 2026, operasi komersial dijangka pada 2028
Nov 11, 2025 | 6:15 PM
Temasek Shophouse, Ho Ching, Bukom
Majlis tandatangan perjanjian yang diadakan di Temasek Shophouse pada 11 November turut dihadiri mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Temasek, Cik Ho Ching (kiri). - Foto ASTER

Sebuah kilang bahan api penerbangan mampan baru, yang pertama di seluruh Asia Tenggara akan dibangunkan di Pulau Bukom.

Kilang yang mampu menukar gas sisa industri menjadi bahan api penerbangan mampan itu akan dibangunkan bersama oleh Aster, syarikat penapisan dan bahan kimia, serta syarikat pemula Aether Fuels.

Pembinaan kilang yang dinamakan, Project Beacon itu, akan bermula pada 2026 dan dijangka bergerak ke operasi komersial pada 2028.

Ia bakal ditempatkan di hab penapisan Aster di Pulau Bukom, yang telah diambil alih daripada Shell pada April, lapor The Business Times (BT).

Langkah tersebut adalah sebahagian daripada siri perjanjian yang ditandatangani oleh Aster – satu usaha sama antara syarikat Chandra Asri dari Indonesia dengan pedagang komoditi Glencore. 

Selain kilang penapisan Bukom, syarikat itu juga telah membeli stesen minyak Esso di Singapura serta aset Shell dan Chevron Phillips Singapore Chemicals di Pulau Jurong.

Ketua Pegawai Kewangan Aster, Encik Andre Khor, berkata kilang bahan api penerbangan mampan itu sejajar dengan tumpuan teknologi mendalam dan terkini bagi salah satu syarikatnya, Aster Ventures.

“Kami ingin menggunakan teknologi mendalam bagi memenuhi keperluan (asas) industri dan menyediakan penyelesaian tenaga masa depan yang selari dengan aset tenaga, kimia, dan prasarana sedia ada,” katanya.

Project Beacon akan menggunakan teknologi daripada Aether untuk menukar gas sisa industri dan biomethane kepada bahan api penerbangan mampan.

Ini merupakan inisiatif pertama di rantau ini, berbanding pengeluar lain seperti Neste yang menggunakan minyak masak terpakai.

Aster akan menyediakan bahan bakar sisa karbon untuk pengeluaran bahan api, serta kuasa boleh diperbaharui, utiliti dan sokongan tapak.

Produk yang dihasilkan akan disahkan oleh Skim Pengimbangan dan Pengurangan Karbon untuk Penerbangan Antarabangsa (Corsia), iaitu inisiatif sejagat untuk mengurangkan jejak karbon sektor penerbangan.

Project Beacon dijangka menghasilkan sehingga 50 tong bahan api sehari, atau 2,000 tan setahun, termasuk 1,600 tan bahan api penerbangan mampan dan 400 tan nafta mampan. 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aether, Encik Conor Madigan, berkata kilang tersebut bakal mencipta 24 peluang pekerjaan sepenuh masa untuk menjalankan operasi kilang tersebut.

Syarikat pemula itu juga merancang menambah bilangan pekerja di Singapura kepada 30 orang, daripada hanya dua pada masa ini.

Menurut Encik Madigan, kekurangan minyak masak terpakai untuk bahan api penerbangan mampan dapat diatasi dengan teknologi Aether yang boleh menukarkan sisa gas dan sisa karbon lain menjadi bahan api.

Dengan Project Beacon, input yang digunakan akan datang daripada gas hasil proses penapisan Aster.

“(Ini) membolehkan kami mendapatkan bahan bakar dengan aliran yang stabil dan tekal yang memudahkan projek ini.

“Kami mempunyai bekalan bahan bakar yang kukuh, dan ia memberi kami cara untuk menghasilkan bahan api yang kami percaya boleh berkembang,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg