Topic followed successfully
Go to BHkuKilang tingkat pengeluaran nyamuk Wolbachia kepada 10j dengan AI
Kilang tingkat pengeluaran nyamuk Wolbachia kepada 10j dengan AI
Daya usaha perintis Google, Debug termasuk unit biak larva serta mekanisme pelepasan nyamuk secara automatik
Kilang tingkat pengeluaran nyamuk Wolbachia kepada 10j dengan AI
Usaha memerangi denggi diperhebat dengan pengeluaran mingguan nyamuk Wolbachia kini melonjak daripada enam juta kepada 10 juta ekor, memperluas jangkauan program kawal pembiakan nyamuk di Singapura.
Peningkatan itu dipacu oleh Debug, inisiatif perintis Google, khusus untuk membendung ancaman penyakit bawaan nyamuk.
Dengan perluasan keupayaan penyelidikan dan pengembangan (R&D), Debug melancarkan inovasi robotik dan kecerdasan buatan (AI) generasi akan datang untuk meningkatkan pengeluaran besar-besaran nyamuk jantan pembawa Wolbachia.
Ia melibatkan unit pembiakan larva yang direka khusus, sistem pengasingan jantina berasaskan AI, dan mekanisme pelepasan nyamuk secara automatik sepenuhnya.
Dengan kemajuan teknologi, Debug kini merintis inovasi yang bakal membolehkan pelaksanaan penuh program penggantian nyamuk.
Debug yang mula beroperasi sejak 2018, telah menubuhkan kemudahan pengeluaran nyamuk pertama di Singapura pada 2022.
Ketua Pembangunan Perniagaan Debug, Cik Monica Tsai, 49 tahun, berkata bahawa kemajuan itu sesuai dengan keperluan keadaan tempatan untuk mengekang isu nyamuk dan denggi.
Beliau menjelaskan: “Sebanyak 70 peratus beban denggi antarabangsa tertumpu di rantau kita (Asia), dan Singapura adalah pusat kepada wilayah itu.
“Dengan pengalaman dan kepakaran dalam teknologi Wolbachia, kami berhasrat memperhalusi inovasi terkini. Sehingga kini, kami telah berjaya menghasilkan satu bilion nyamuk.
“Kami turut berhasrat membangunkan dan menyesuaikan inisiatif R&D agar lebih tepat sasaran pada kawasan yang terjejas,” jelasnya.
Semasa lawatan Berita Harian (BH) ke kemudahan Debug di Kaki Bukit, beberapa pembangunan baharu telah ditunjukkan.
Antara kemajuan utama yang dipamerkan ialah automasi menyeluruh bagi proses kritikal, bermula daripada pembiakan larva hinggalah kepada pengasingan pupa mengikut jantina.
Untuk mengatasi kesukaran, teknologi penglihatan komputer berkuasa AI telah diperkenalkan, sekali gus mempermudah cabaran mengasingkan nyamuk jantan dan betina dengan ketepatan tinggi.
Inovasi turut diserlahkan melalui pengenalan van pelepasan automatik, yang direka dan diuji khas untuk kegunaan tempatan.
Kenderaan canggih itu membolehkan rawatan nyamuk dilakukan di kawasan sasaran dengan lebih cekap, sekali gus mengoptimumkan tenaga kerja sedia ada.
Namun, kemajuan Debug bukan hanya bersandarkan robotik dan AI, ia juga disokong oleh barisan kakitangan pakar dan rakan strategik.
Mengulas peranan tersebut, Pengurus Program Kanan, Cik Yanni Yoong, 43 tahun, menekankan:
“Kami berjaya meningkatkan penghasilan kerana karyawan kami, termasuk jurutera dan saintis, memainkan peranan penting dalam R&D, malah memperluaskan pengeluaran di kilang ini.”
Sementara itu, Debug terus menggerakkan Projek Wolbachia dengan kerjasama erat Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
NEA, dalam maklum balas kepada BH, mendedahkan kerjasama dengan Debug bermula pada 2018, khususnya untuk menguji automasi pelepasan dan pengasingan jantina nyamuk ketika Fasa Kedua Projek Wolbachia.
“Pemilihan Debug adalah strategik kerana mereka telah membuktikan kejayaan sistem automatik di Amerika Syarikat dan Australia sebelum bekerjasama dengan NEA, menjadikannya rakan yang paling sesuai,” kata jurucakap NEA.
Kini, setelah melalui tempoh penyelidikan antara 2018 dengan 2023, peranan Debug telah berkembang, bukan lagi sekadar penyelidik, malah, penyumbang utama.
Debug memperkukuh pengeluaran dan pelepasan nyamuk oleh NEA melalui teknologi automasi hak milik mereka untuk nyamuk jantan Wolbachia-Aedes, tambah beliau.
“
“Kami turut berhasrat membangunkan dan menyesuaikan inisiatif R&D agar lebih tepat sasaran pada kawasan yang terjejas.”
