Calon Pilihan Raya Presiden, Encik Tan Kin Lian, berkata beliau telah bertemu pesaingnya, Encik Tharman Shanmugaratnam.
Melaluinya, beliau mendapat jaminan percubaan untuk memburukkan namanya tidak berasal daripada pasukan mantan menteri negara itu.
Namun Encik Tan berkata beliau tidak pasti sama ada Encik Tharman sedar “ada pihak lain yang berbuat demikian bagi pihak Encik Tharman” tanpa memberi perincian lanjut.
Beliau turut meminta maaf kepada kaum wanita yang berasa tidak senang dengan gambar yang diterbitnya dahulu yang menunjukkan “wanita cantik” di tempat awam dan didakwa menghina kaum Hawa.
Mantan Ketua Pegawai Eksekutif NTUC Income itu, yang bertanding buat kali kedua dalam Pilihan Raya Presiden, menyatakan demikian kepada media mengenai dakwaan beliau dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau mendakwa menjadi mangsa kempen mencemar namanya oleh beberapa pihak.
Encik Tan pada awal Selasa menyiarkan satu kenyataan yang mendakwa parti politik dan ‘pesaing terbesar’ beliau dalam pilihan raya tersebut terbabit dalam percubaan itu.
Namun kenyataan tersebut diubah sekitar 12 tengah hari tanpa dakwaan itu.
Kenyataan baru tersebut berkata percubaan memburukkan namanya itu jelas adalah satu “usaha dirancang oleh satu kumpulan serangan” melibatkan “editor media arus utama”, sebuah pertubuhan hak wanita dan “satu komen oleh Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden”.
Menurut Encik Tan, gambar-gambar itu telah dimuatnaikkan sejak 10 tahun lalu dan telah mencapai kepada lebih 100,000 orang tanpa sebarang bantahan oleh orang ramai.
“Namun dalam pilihan raya ini, tiba-tiba terdapat seseorang yang berkata gambar-gambar itu membuatnya rasa tidak senang.
“Jadi sekarang anda seolah-olah mahu memburukkan nama saya terhadap suatu perkara kecil yang dijadikan satu isu besar?” tambahnya.
Encik Tan berkata beliau meminta maaf kepada kaum wanita yang rasa tidak senang dengan hantaran-hantaran itu.
“Saya tidak berniat berbuat demikian. Saya punya seorang isteri, dua anak perempuan dan tiga cucu perempuan.
“Saya rasa gambaran terhadap saya oleh media arus utama adalah tidak adil dan tidak jujur. Saya harap media arus utama akan terima mesej ini kerana ia bukan (gambaran sebenar) saya,” ujar beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg