Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kin Lian ingin perjuang isu masyarakat, namun perlu fahami peranan Presiden

Aug 27, 2023 | 5:30 AM
PERLU FAHAMI PERANAN PRESIDEN: Meskipun Encik Tan Kin Lian ingin memperjuangkan isu-isu dekat di hati masyarakat, pengamat berkata ia mewujudkan risiko timbulnya visi peranan Presiden yang tidak wujud dan tidak boleh wujud di bawah perlembagaan Singapura.
PERLU FAHAMI PERANAN PRESIDEN: Meskipun Encik Tan Kin Lian ingin memperjuangkan isu-isu dekat di hati masyarakat, pengamat berkata ia mewujudkan risiko timbulnya visi peranan Presiden yang tidak wujud dan tidak boleh wujud di bawah perlembagaan Singapura. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Kesukaran serta cabaran yang dihadapi dahulu serta latar belakangnya yang berasal daripada keluarga miskin membentuk dirinya sebagai seorang individu yang cukup prihatin tentang cabaran yang dihadapi warga Singapura, terutama golongan kurang bernasib baik.

Justeru, isu-isu yang menjejas kehidupan warga Singapura, seperti perumahan, pekerjaan dan kos kehidupan, menjadi tumpuan dan keutamaan kempen yang dijalankan calon presiden, Encik Tan Kin Lian, yang menekankan rancangannya untuk mempengaruhi dasar pemerintah berkaitan isu-isu itu jika dipilih.

Namun, tumpuannya terhadap peranan Presiden yang dikatakan mampu “mempengaruhi” pembentukan dasar pemerintah serta memberi panduan mengenai strategi pelaburan rizab, mewujudkan risiko timbulnya visi peranan Presiden yang tidak wujud dan tidak boleh wujud di bawah perlembagaan Singapura, menurut pengamat.

Di bawah perlembagaan, Presiden tidak boleh menyatakan secara terbuka sebarang pandangan mengenai undang-undang dan dasar pemerintah kecuali dalam perkara yang berkaitan dengan pelaksanaan budi bicara Presiden.

Pendekatan Encik Tan itu mungkin berjaya menarik perhatian pengundi yang tidak puas hati dan berasa pemerintah perlu meningkatkan usaha dalam menangani isu tersebut, menurut pakar sosiologi dari Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Madya Tan Ern Ser.

Mengulas lanjut, Dr Tan berkata: “Encik Tan berpegang kepada pendekatan yang lebih bersifat populis, dan melihat peranan Presiden sebagai mempunyai pengaruh terhadap dasar berkaitan isu-isu yang beliau percaya menjadi keprihatinan warga Singapura.

“Pendekatan ini mungkin dapat menarik pengundi yang percaya pemerintah boleh mempertingkat usaha menangani isu-isu seperti inflasi, pengeluaran wang CPF (Tabung Simpanan Pekerja) dan menggunakan rizab negara untuk membantu generasi sekarang.”

Dr Tan menambah, kempen Encik Tan juga mungkin dapat menarik undi mereka yang tidak gembira dengan pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan ingin beliau memainkan peranan “semak dan imbang”.

Namun, tumpuan terhadap perkara tersebut dalam kempennya mungkin menimbulkan kekeliruan mengenai peranan Presiden.

Sebelum ini, Encik Tan, 75 tahun, telah diminta memadamkan tiga perenggan skrip untuk siaran mesej calon Presiden, menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD) dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).

Selain cara beliau berhasrat untuk memberi panduan mengenai pelaburan rizab, tiga perenggan tersebut menyentuh kos sara hidup, dasar perumahan dan pekerjaan.

Menurut Encik Tan sebelum itu, perenggan tersebut dianggapnya “perenggan paling penting dalam kempen saya”.

Menyentuh tentang perkara itu, Profesor Madya Eugene Tan dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) berkata:

“Encik Tan mungkin tidak memahami sepenuhnya peranan, fungsi dan kuasa Presiden atau sengaja untuk tidak memahami had peranan Presiden hingga hampir menggambarkan perkara yang salah.”

Pada masa yang sama, meskipun tugas Presiden sudah digariskan dalam perlembagaan, rakyat juga mempunyai persepsi sendiri mengenai peranan tersebut dan ini akan mencorak cara mereka mengundi, menurut Zamil Kanan Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat.

“Misalnya, mereka mahukan Presiden yang menyuarakan aspirasi mereka, walaupun dari segi penggubalan dasar, itu adalah bidang kuasa pemerintah dan Parlimen,” ujarnya.

Buat masa ini, cara Encik Tan berkempen lebih bersifat ‘defensif’, memandangkan beliau perlu menjelaskan isu kontroversi, menurut Dr Tan.

Ini termasuk mengenai hantaran di media sosial tentang “wanita cantik” yang telah menimbulkan dakwaan bahawa beliau menghina wanita. Encik Tan telah mengeluarkan kenyataan meminta maaf mengenainya.

Semasa menyampaikan perutusan kempen beliau dalam siaran di televisyen dan radio, Encik Tan berkata sekiranya dipilih sebagai Presiden, beliau akan memastikan dua tugas utama tersebut akan dilaksanakan “dengan bersungguh-sungguh, jujur, dan sebaik mungkin”.

Beliau juga menekankan bahawa beliau tiada niat mahu menjadi ‘musuh’, sebaliknya mahu bekerja rapat dengan pemerintah demi melindungi rizab negara dan mengukuh kewibawaan perkhidmatan awam.

Dr Mustafa Izzuddin, penganalisis kanan hal ehwal antarabangsa di Solaris Strategies Singapore menekankan pentingnya untuk warga Singapura memilih calon yang benar-benar memahami peranan Presiden.

Ini selain keupayaan mereka untuk berkhidmat secara diplomatik di pentas antarabangsa, mempunyai keupayaan intelektual dan mempamerkan sifat ihsan.

“Selain itu, apabila pengundi dapat berhubung lebih baik dengan pengalaman atau apa yang dikatakan calon, lebih tinggi peluang calon itu untuk memenangi Pilihan Raya Presiden ini,” katanya.

Harus saya perjelaskan bahawa tiada niat saya untuk menjadi musuh kepada pemerintah yang dipilih. Sebaliknya, saya berharap dapat bekerjasama dengan pemerintah untuk mencapai matlamat yang dinyatakan di atas. Rizab masa lalu kita terdiri daripada jumlah besar yang mungkin mencecah beberapa ratus bilion dolar, dan mungkin lebih. Adalah amat penting rizab dilaburkan dengan baik untuk menghasilkan kadar pulangan yang bagus dalam jangka masa yang panjang, meliputi lima tahun atau lebih, dan tidak terdedah kepada risiko tinggi.
Encik Tan Kin Lian.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg