Encik Tan Kin Lian, 75 tahun, yang telah meluahkan hasrat untuk bertanding bagi Pilihan Raya Presiden, berkata beliau akan berundur diri jika usahawan Encik George Goh, 63 tahun, layak bertanding.
“Jika Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden (PEC) memutuskan akan ada pertandingan empat penjuru, saya tidak akan menyerahkan borang pencalonan saya, dan saya akan memberikan doa yang terbaik kepada George Goh,” kata Encik Tan pada Khamis.
Pengumuman Encik Tan itu menyusuli kenyataannya beberapa hari kebelakangan ini antara beliau dengan Encik Goh di mana beliau berulang kali berkata kedua-dua calon akan memutuskan siapa antara mereka yang akan berundur jika mereka berdua layak bertanding.
Sebaliknya, Encik Goh berkata tidak ada perjanjian sedemikian, dan telah meminta Encik Tan untuk memberi tumpuan kepada kempennya sendiri.
Encik Tan berkata pada Khamis apabila beliau membuat keputusan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden, beliau telah pun memutuskan akan berundur jika keempat-empat calon diluluskan untuk bertanding.
“Penasihat saya telah menasihati saya supaya tidak membuat kenyataan (seperti itu), kerana mereka takut ia akan melemahkan semangat penyokong saya,” kata mantan ketua pegawai eksekutif NTUC Income itu selepas menaiki MRT dari Bedok ke Bukit Panjang, dengan beliau berbual bersama beberapa penumpang.
Encik Tan berkata beliau tidak setuju dengan penasihatnya pada awalnya, tetapi telah mendengar nasihat mereka atas dasar hormat.
Encik Tan menambah, jika Encik Goh layak beliau adalah calon presiden yang lebih baik.
“Beliau lebih muda... lebih bersemangat, beliau mempunyai pertubuhan yang besar dan sokongan yang besar,” kata Encik Tan.
Beliau menambah, Encik Goh telah mengatakan sesuatu yang “sangat jahat” tentangnya sejak beberapa hari lalu, tetapi beliau tidak mengendahkannya, dan masih menghormati Encik Goh.
Menjelaskan ulasannya mengenai garis masa pilihan raya, Encik Tan berkata beliau tidak mempunyai masalah dengan tempoh masa untuk calon mengemukakan permohonan bagi Sijil Kelayakan.
“Isu saya ialah masa dari pengumuman calon hingga penamaan calon – itu tidak sampai satu hari,” katanya.
Pada Rabu, The Straits Times melaporkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pilihan Raya (ELD) berhubung dakwaan Encik Tan bahawa garis masa Pilihan Raya Presiden “tergesa-gesa”.
ELD berkata bakal calon Presiden mempunyai masa yang mencukupi untuk mengemukakan permohonan mereka untuk mendapat kelayakan.
ELD dalam kenyataannya juga berkata walaupun keputusan PEC mesti diumumkan selewat-lewatnya pada 21 Ogos, jawatankuasa itu boleh memaklumkan pemohon sebaik sahaja keputusan dibuat mengenai kelayakan mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg