Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Klinik baru di Beach Road tawar rawatan percuma, subsidi buat warga emas

Mar 11, 2025 | 2:51 PM
Klinik Masyarakat Sata CommHealth dirasmikan oleh Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central, Cik Denise Phua (baju biru), pada 10 Mac.
Klinik Masyarakat Sata CommHealth dirasmikan oleh Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central, Cik Denise Phua (baju biru), pada 10 Mac. - Foto ZAOBAO

Bilangan pesakit sebuah klinik masyarakat di Beach Road yang menawarkan rawatan asas percuma dan bersubsidi tinggi kepada warga emas yang menetap di flat sewa kawasan itu kian meningkat.

Sejak dibuka pada September 2024, klinik hasil kerjasama Sata CommHealth dan Singapore Health Services (SingHealth) ini, menerima lebih 1,000 kunjungan pesakit, dengan lebih 66 peratus daripadanya melibatkan penduduk berpendapatan rendah yang tinggal di flat sewa.

Klinik Masyarakat Sata CommHealth telah dirasmikan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central, Cik Denise Phua, pada 10 Mac, lapor The Straits Times (ST).

“Matlamat pusat ini adalah untuk memastikan ia mudah dikunjungi, kerana ia terletak di tengah-tengah kawasan perumahan golongan memerlukan, dan itu sangat penting,” kata Cik Phua, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar.

Klinik ini beroperasi di kawasan kejiranan di bawah naungan GRC Jalan Besar.

Cik Phua turut menekankan bahawa harga rawatan di klinik ini berpatutan kerana ia tersenarai di bawah Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas).

Skim Chas membolehkan semua rakyat Singapura menerima subsidi untuk penjagaan perubatan dan pergigian, merentasi semua institusi penjagaan kesihatan awam, doktor perubatan umum (GP) dan klinik pergigian swasta yang mengambil bahagian.

Warna kad Chas – biru, jingga atau hijau – menunjukkan tahap subsidi yang layak diterima oleh pemegang kad.

Sata CommHealth akan menanggung jumlah bayaran bagi pemegang kad Chas yang layak, dengan jumlah berbeza-beza bergantung pada subsidi yang diberikan.

Pengerusi Sata CommHealth, Encik Tan Boon Gin, berkata: 

“Sejak pembukaan tidak rasmi klinik ini pada akhir September 2024, seramai 520 penduduk telah mengunjungi klinik ini sehingga 31 Disember 2024.

“Lebih 66 peratus daripada 1,000 kunjungan rawatan dalam tempoh ini dibuat oleh penduduk daripada blok sewa. Mereka inilah pesakit yang Sata CommHealth ingin bantu, dan kami bersyukur atas peluang ini,” katanya.

Beliau berkata idea menubuhkan klinik masyarakat di Beach Road ini tercetus sekitar dua tahun lalu (2023) semasa majlis makan malam yang dihadiri pasukan kepimpinan Sata CommHealth dan SingHealth. 

Ini membawa kepada kerjasama antara kedua-dua pertubuhan dalam menyediakan rawatan asas yang mudah diperolehi pesakit dengan harga berpatutan untuk keluarga serta warga emas rentan.

Ketua Eksekutif Sata CommHealth, Dr Kelvin Phua, berkata golongan warga emas mewakili lebih 25 peratus daripada penduduk di kawasan Beach Road.

“Kami menyediakan saringan kelemahan fizikal dan fokus kami adalah mencegah risiko terjatuh, yang boleh memberi kesan serius kepada warga emas. Selain khidmat konsultasi untuk batuk dan selesema biasa, kami juga menyediakan program intervensi untuk kelemahan fizikal, seperti senaman dan pemakanan,” katanya.

Doktor dan jururawat di klinik ini turut mendidik warga emas mengenai Perancangan Jagaan Lanjut (ACP) dan Surat Kuasa Berkekalan (LPA). 

ACP membolehkan warga Singapura memilih cara penjagaan mereka, manakala LPA adalah dokumen sah yang membenarkan mereka melantik wakil untuk membuat keputusan bagi pihak mereka sekiranya mereka hilang upaya mental pada suatu hari nanti.

Sejak September 2024, bilangan pesakit harian di klinik ini telah meningkat daripada 10 kepada antara 20 hingga 30 pesakit pada masa ini.

“Kami menjangka jumlah ini akan mencapai 40 hingga 50 orang dalam beberapa bulan mendatang,” kata Dr Phua.

Beliau menambah Sata CommHealth kini sedang merancang untuk membuka sebuah lagi klinik di kawasan Chin Swee Road kerana komposisi penduduknya serupa dengan kawasan Beach Road.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg