Lebih setengah juta pesakit yang menggunakan MediSave setiap tahun untuk ujian imbasan pesakit luar dan sekitar 700,000 pesakit yang menggunakan Flexi-MediSave setiap tahun untuk rawatan perubatan pesakit luar mereka boleh meraih manfaat daripada kenaikan had pengeluaran bagi kedua-dua skim tersebut.
Had tahunan ujian imbasan pesakit luar MediSave akan digandakan daripada $300 kepada $600 bermula 1 Januari 2026; dan had pengeluaran tahunan Flexi-MediSave akan dinaikkan daripada $300 kepada $400 bermula 1 Oktober 2025.
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, mengumumkan perubahan ini semasa perbahasan Belanjawan Kementerian Kesihatan (MOH) pada 7 Mac.
Beberapa Anggota Parlimen (AP) termasuk Cik Mariam Jaafar (GRC Sembawang), Encik Yip Hon Weng (GRC Yio Chu Kang) dan AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP) dari Parti Kemajuan Singapura (PSP), Cik Hazel Poa, telah mengajukan soalan tentang kemampuan penjagaan kesihatan di tengah-tengah peningkatan kos dan inflasi.
Dalam jawapannya, Encik Ong berkata keputusan untuk meningkatkan had pengeluaran MediSave ialah disebabkan amalan perubatan hari ini.
“Saban tahun, imbasan MRI (imbasan pengimejan resonans magnetik) dan CT (imbasan tomografi berkomputer) lebih biasa digunakan untuk diagnosis penyakit tertentu seperti barah, kerana ia lebih terperinci dan tepat daripada X-ray.
“Namun, (ujian imbasan) ini juga lebih mahal.
“Untuk memastikan ini kekal mampu dimiliki, kami akan menggandakan had pengeluaran MediSave untuk imbasan pesakit luar tersebut daripada $300 kepada $600 setahun, bermula pada 2026,” jelasnya.
Berkenaan had pengeluaran Flexi-MediSave pula, Encik Ong berkata meskipun hadnya telah dinaikkan daripada $200 kepada $300 setahun pada 2021, “keperluan perubatan pesakit luar telah berkembang lebih jauh”.
Oleh itu, had tersebut akan dinaikkan kepada $400 setahun bermula suku keempat 2025.
Skim Flexi-MediSave memberi fleksibiliti kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas untuk menggunakan MediSave mereka bagi rawatan pesakit luar di poliklinik, Klinik Pakar Pesakit Luar awam dan klinik di bawah Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS).
MOH berkata kebiasaannya, keperluan penjagaan kesihatan meningkat pada usia tua dan had pengeluaran MediSave ditetapkan dengan teliti untuk memastikan warga Singapura mempunyai simpanan yang mencukupi untuk membayar perbelanjaan penjagaan kesihatan pada tahun-tahun usia senja mereka.
“Penduduk kita yang semakin tua dijangka memacu peningkatan dalam keperluan penjagaan dan penggunaan perkhidmatan penjagaan jangka panjang. MOH akan terus menyemak dan mempertingkatkan skim pembiayaan kami untuk memastikan penjagaan kesihatan dan penjagaan jangka panjang kekal mampu dimiliki dan mampan untuk semua,” kata kementerian itu lagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg