Usaha meningkatkan taraf pekerja dalam sektor pengurusan haiwan perosak bukan sahaja perlu melangkaui kenaikan gaji semata-mata, sebaliknya turut melibatkan pembangunan kemahiran, menyokong perkembangan kerjaya dan menggalakkan penggunaan teknologi.

Itulah yang dikongsi Pengerusi Kluster Tiga Pihak bagi Pengurusan Haiwan Perosak (TCPM), Dr Wan Rizal Wan Zakariah, dalam satu hantaran Facebook pada 16 Julai.

Kluster tersebut, yang dianggotai wakil daripada persatuan industri, kesatuan sekerja dan agensi pemerintah, ditubuhkan bagi membangunkan serta menyelia pelaksanaan Model Gaji Progresif (PWM), bagi memastikan majikan membayar gaji pekerja selaras dengan kemahiran, daya penghasilan dan prestasi kerja mereka.

Pelaksanaan PWM bagi sektor tersebut dijangka memanfaatkan sekitar 1,800 pekerja yang juga terdiri daripada juruteknik dan pekerja kawalan vektor berlesen.

Pembentukan TCPM itu telah diumumkan menerusi satu kenyataan media bersama oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef), yang dikeluarkan pada 15 Julai.

“Dengan pelaksanaan PWM dan sokongan anggota TCPM, saya percaya kita dapat terus mempertingkatkan profesionalisme sektor ini serta membolehkan pekerja pengurusan haiwan perosak meningkatkan kemahiran dan daya penghasilan mereka,” kata Dr Wan Rizal dalam kenyataan tersebut.

Beliau juga merupakan Pengarah Pengurusan Pihak Berkepentingan, Perkhidmatan Kerjaya dan Kumpulan Perkongsian (CSPG) Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).

Di samping itu, kluster tersebut juga akan merangka strategi bagi menyokong perkembangan kerjaya pekerja di bawah PWM.

Ini memastikan kenaikan gaji yang mampan selaras dengan peningkatan tanggungjawab, kemahiran dan daya penghasilan serta standard kerja.

“Pelaksanaan PWM yang berjaya akan membantu mewujudkan medan persaingan yang lebih adil bagi semua pemain sektor pengurusan haiwan perosak.

“Secara keseluruhannya, usaha ini akan menyumbang kepada penarikan bakat berkemahiran serta meningkatkan standard profesional dalam sektor ini,” kata Presiden Persatuan Pengurusan Haiwan Perosak Singapura, Encik Clement Tan, dalam kenyataan yang sama.

Dalam hantaran Facebook beliau, Dr Wan Rizal, yang juga Anggota Parlimen pergerakan buruh, berkata pekerja pengurusan haiwan perosak memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan awam dan memastikan rumah, tempat kerja, premis makanan dan ruang masyarakat kekal selamat daripada haiwan perosak.

Menurut beliau, bidang pengurusan haiwan perosak sebenarnya lebih khusus dan memerlukan kepakaran teknikal, pertimbangan profesional serta, semakin penting kini, keupayaan menggunakan teknologi baharu dan penyelesaian pengurusan haiwan perosak yang lebih canggih.

Beliau berharap usaha ini dapat menyediakan laluan kerjaya yang lebih jelas, pengiktirafan kemahiran yang lebih kukuh serta prospek jangka panjang yang lebih baik bagi pekerja dalam sektor tersebut.