Topik diikuti
Pergi ke BHkuNParks nasihati Majlis Bandaran East Coast mengenai pengurusan isu reriang
NParks nasihati Majlis Bandaran East Coast mengenai pengurusan isu reriang
NParks nasihati Majlis Bandaran East Coast mengenai pengurusan isu reriang
Lembaga Taman Negara (NParks) sedang memberi nasihat kepada Majlis Bandaran East Coast mengenai langkah pengurusan isu reriang atau cicada, iaitu spesies serangga yang muncul dalam kelompok besar di Tampines Changkat.
Menjawab pertanyaan mengenai penyebaran spesies itu, Pengarah Kumpulan Pengurusan Hidupan Liar NParks, Encik How Choon Beng, berkata pada 9 Julai, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan majlis bandaran tersebut susulan maklum balas berkaitan reriang di kawasan Changi-Simei.
Anggota Parlimen (AP) kawasan berkenaan, Cik Jessica Tan, memberitahu The Straits Times (ST) kemunculan reriang sayap jingga di estet itu telah lama menjadi satu masalah bagi kawasan kejiranan tersebut.
“Ia bermula beberapa tahun lalu, dengan aduan mengenai bunyi bising, namun ia tidak berterusan sehingga tahun lepas (2025) apabila kelompok serangga itu menjadi sangat teruk,” katanya.
“Penduduk ada mencadangkan kaedah pengabutan (fogging) dan penggunaan racun perosak, tetapi kita perlu berhati-hati kerana kita tidak mahu menjejas tumbuhan serta haiwan lain di sana,” jelas Cik Tan.
Isu ini timbul di tengah-tengah peningkatan maklum balas sedemikian yang diterima oleh NParks dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, dengan bilangan kes meningkat daripada sekitar 10 pada 2021 kepada kira-kira 25 kes pada 2025.
Sebahagian besar maklum balas mengenai reriang – yang merupakan antara haiwan paling bising di dunia – berkaitan dengan isu bunyi bising dan tertumpu di kawasan timur Singapura, kata Encik How.
Beliau menambah rekod pangkalan data flora dan fauna, iNaturalist, telah mengesan kehadiran reriang sayap jingga atau Asianopleura fulvigera di kawasan timur Singapura, terutamanya di Tampines, Changi dan Pasir Ris.
Meskipun spesies ini berasal dari Asia Tenggara, ia mungkin satu spesies asing bagi Singapura.
Buat masa ini, corak kemunculan reriang sayap jingga di sini masih belum jelas, namun serangga itu dilihat cenderung muncul setiap tahun antara Mac dengan Jun.
NParks telah melawat beberapa kawasan terjejas, namun belum dapat mengesahkan sebarang trend yang jelas, corak kitaran, atau mengenal pasti jika fenomena kemunculan berskala besar ini sedang merebak.
“Memandangkan reriang sayap jingga baru-baru ini sahaja dikenal pasti sebagai spesies yang dikaitkan dengan kemunculan secara besar di Tampines Changkat, peningkatan dalam aduan mengenai kehadiran serangga itu mungkin sebahagian besarnya mencerminkan kesedaran orang awam yang semakin meningkat terhadap kehadiran serangga itu, dan bukan disebabkan oleh peningkatan jumlah sebenar,” kata Encik How.
Susulan aduan tahunan mengenai kelompok serangga itu yang memasuki rumah, sebuah pasukan petugas telah ditubuhkan di Tampines Changkat pada Mac lalu.
Memberi perkembangan terkini pada 5 Julai, Persatuan Rakyat (PA), Majlis Bandaran Tampines dan NParks dalam satu kenyataan bersama, berkata perangkap lampu yang dipasang telah berjaya menangkap sekitar 22,000 ekor reriang di Tampines Changkat.
Kaedah itu merupakan antara strategi berkesan yang dilaksanakan dalam projek rintis selama lima bulan bagi menguji cara mengawal populasi reriang sayap jingga, jelas kenyataan tersebut.
Meskipun kemunculan reriang bagi 2026 sudah berkurangan, pasukan petugas itu berkata mereka akan terus bersiap sedia menghadapi musim kemunculan seterusnya, selain berkongsi hasil dapatan dengan majlis bandaran lain bagi membantu mereka menangani isu tersebut di kawasan masing-masing.
Seorang jurucakap Majlis Bandaran East Coast berkata musim kemunculan reriang bagi 2026 di kawasan itu telah mula berkurangan sejak Jun, sambil menambah situasi bagi penduduk Changi-Simei juga semakin reda.
Menjelang musim kemunculan seterusnya pada awal 2027, majlis bandaran itu merancang untuk melaksanakan beberapa langkah seperti membalut batang pokok – seperti yang dilakukan di Tampines Changkat – bagi mengganggu kitaran hidup reriang, selain menjalankan kerja-kerja semburan lanjut.
