Penunggang dan pembonceng motosikal yang menuju ke Malaysia boleh menggunakan kod QR untuk melepasi imigresen di pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas mulai 15 Ogos.
Penunggang basikal yang menggunakan lorong motosikal di dua pusat pemeriksaan Singapura itu juga boleh menggunakan pelepasan kod QR, kata Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) kepada The Straits Times pada 13 Ogos.
Langkah itu adalah sebahagian daripada daya usaha ICA untuk memudahkan pelepasan imigresen tanpa pasport bagi pelancong.
Mereka yang melancong ke Malaysia dengan menaiki kereta telah menggunakan pelepasan kod QR sejak 19 Mac.
Mulai 15 Ogos, penunggang dan pembonceng motosikal hanya perlu menunjukkan satu kod QR secara kumpulan untuk pelepasan imigresen dan tidak perlu mengimbas dua pasport, kata ICA dalam satu kenyataan pada 13 Ogos.
Ini serupa seperti mereka yang menaiki kereta, yang boleh menggunakan satu kod QR untuk sehingga 10 penumpang dalam kenderaan yang sama bagi pelepasan imigresen.
ICA berkata sistem Pengenalan Biometrik Penunggang Motosikal (Bikes) juga telah dipertingkat, dengan isyarat visual daripada jalur cahaya dipasang di kaunter imigresen untuk menunjukkan sama ada cap jari penunggang telah dapat dikesan.
“Peningkatan sistem Bikes serta pelepasan kod QR akan mengurangkan masa pelepasan imigresen untuk penunggang dan pembonceng motosikal kira-kira 30 peratus,” kata ICA.
Mengimbas kod QR dan tidak menggunakan pasport juga boleh membantu penunggang motosikal mengelakkan pasport mereka terdedah kepada hujan, tambah ICA.
Penduduk Singapura yang ingin menggunakan pelepasan kod QR perlu memuat turun aplikasi MyICA.
Mereka boleh memilih untuk memasukkan butiran mereka secara automatik melalui Singpass untuk menjana kod QR.
Namun, mereka masih perlu membawa pasport kerana pegawai pusat pemeriksaan mungkin memerlukannya untuk pengesahan.
Mereka juga perlu mengemukakan pasport mereka untuk pelepasan imigresen di pusat pemeriksaan Malaysia di Johor Bahru, melainkan mereka adalah warganegara Malaysia.
Sejak akhir Julai, penunggang motosikal Malaysia boleh melepasi imigresen dengan pengecaman muka atau kod QR menggunakan aplikasi MyBorderPass apabila memasuki atau meninggalkan Johor Bahru di pusat pemeriksaan Bangunan Sultan Iskandar melalui Tambak.
ICA mengingatkan pelancong supaya mengemas kini kod QR mereka jika telah menukar pasport mereka.
Mulai 30 Ogos, pemandu serta kelindan kenderaan kargo juga boleh menggunakan pelepasan kod QR.
Daya usaha itu akan diperluas kepada penumpang bas menjelang Disember.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg