Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kok Song biaya kempen dengan duit simpanan sendiri, tolak sumbangan

Aug 24, 2023 | 3:44 PM
GUNA DUIT SENDIRI: Encik Ng (kanan) dan tunangnya, Cik Lau (kiri) bertemu penduduk di Pusat Makanan Ghim Moh pada Khamis.
GUNA DUIT SENDIRI: Encik Ng (kanan) dan tunangnya, Cik Lau (kiri) bertemu penduduk di Pusat Makanan Ghim Moh pada Khamis. - Foto ST

Calon Presiden, Encik Ng Kok Song, akan menggunakan wang simpanannya sendiri bagi membiayai kempennya dalam pilihan raya dan tidak akan menerima sebarang sumbangan dana.

Mendedahkan perkara tersebut kepada pihak media semasa kunjungannya ke Pusat Makanan Ghim Moh pada Khamis, Encik Ng, 75 tahun, berkata ini kerana beliau tidak ingin berasa terhutang budi kepada sesiapa yang menyumbang.

“Ada beberapa tawaran untuk membiayai kempen saya. Saya telah menolak tawaran tersebut dengan penuh hormat serta menyarankan jika mereka ingin menyumbang, ia boleh disalurkan kepada badan amal,” katanya.

Apabila ditanya mengenai bajet yang ditetapkan bagi kempen tersebut, mantan ketua pegawai pelaburan GIC berusia 75 tahun itu berkata ia kurang daripada had $812,822.10 yang ditetapkan Jabatan Pilihan Raya (ELD).

Sebelum ini, Encik Ng berkata beliau tidak akan menggunakan poster atau sepanduk dalam kempennya.

Ini memandangkan perbuatan tersebut tidak mesra alam dan beliau juga tidak mempunyai kakitangan untuk melakukan demikian.

Semasa kunjungan ke pusat makanan itu, Encik Ng disertai tunangnya, Cik Sybil Lau, 45 tahun, dan mereka telah mengagihkan risalah kempen kepada penjaja dan orang ramai.

Beliau turut menyentuh tentang komen yang dibuat pesaingnya, mantan Menteri Kanan, Encik Tharman Shanmugaratnam, pada Rabu.

Encik Tharman berkata kuasa tidak langsung yang dimiliki Presiden bergantung kepada hubungan yang terjalin antara Presiden dengan Perdana Menteri.

Kata Encik Ng: “Tugas Presiden adalah untuk memelihara rizab, memelihara integriti pelantikan jawatan perkhidmatan awam tertentu dan Presiden perlu bertindak berdasarkan keperluan warga Singapura.

“Jadi, saya rasa agak sukar untuk Presiden menjalankan tanggungjawabnya secara objektif jika beliau terlalu rapat dengan Perdana Menteri.”

Encik Ng, yang sebelum ini terlibat dalam sektor perkhidmatan awam selama 45 tahun dan memegang jawatan di GIC dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS), turut menambah peranan Presiden tidak seharusnya merangkumi langkah menetapkan dasar pelaburan bagi rizab Singapura.

Beliau berkata demikian dalam memberikan respons terhadap komen mantan ketua pegawai eksekutif NTUC Income, Encik Tan Kin Lian, sebelum ini.

Encik Tan berkata beliau ingin peranan Presiden merangkumi kuasa menetapkan dasar pelaburan rizab negara.

Encik Ng turut menambah beliau kini dalam perancangan untuk menganjurkan rapat dalam talian.

Selain pusat makanan itu, Encik Ng turut membuat kunjungan ke Pusat Makanan ABC Brickworks di Bukit Merah dan Pusat Makanan Chomp Chomp pada Khamis.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg