Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kolej baru NTU bagi siswa berpotensi tinggi

May 13, 2025 | 8:03 PM
NTU, kolej, berpotensi tinggi
Pengambilan pertama bagi Kolej Kepujian Universiti Teknologi Nanyang (NTU), yang memenuhi keperluan pelajar berpotensi tinggi, akan terdiri daripada mereka yang mendaftar dalam program-program utama universiti tersebut. - Foto ST

Sebuah kolej siswa baru di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) akan menerima kumpulan pertama sekitar 500 pelajar mulai Ogos.

Pengambilan pertama bagi Kolej Kepujian NTU, yang memenuhi keperluan pelajar berpotensi tinggi, terdiri daripada mereka yang mendaftar dalam program-program utama universiti itu, kata NTU pada 13 Mei.

Ini termasuk program seperti Program Biasiswa C N Yang (CNYSP), Program Kejuruteraan Renaissance dan Program Sarjana Universiti (USP).

Pelajar baru daripada kursus ijazah lain yang mempunyai kesediaan untuk berkhidmat kepada masyarakat dan mempunyai prestasi akademik cemerlang pada akhir tahun pertama mereka, juga digalakkan memohon ke kolej itu mulai tahun kedua mereka.

Pelajar di Kolej Kepujian NTU kekal sebagai pelajar di sekolah atau fakulti masing-masing, seperti kejuruteraan, perniagaan atau sains, namun akan mengikuti modul amali baru yang merentas disiplin, selain kurikulum program mereka sendiri, lapor The Straits Times.

Menurut NTU, kurikulum kolej baru itu memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi, di samping melengkapkan pelajar dengan kemahiran seperti keusahawanan dan kepimpinan.

Pelajar juga akan melalui pengalaman pembelajaran merentas disiplin, termasuk kursus pembelajaran khidmat masyarakat, ‘Teknologi untuk Kebaikan’ yang membolehkan mereka bekerja dalam pasukan untuk membangunkan huraian berasaskan teknologi untuk menangani pelbagai keperluan masyarakat.

Terdapat juga program penciptaan usaha niaga dengan pembiayaan sehingga $100,000 untuk mengubah pelbagai idea menjadi perniagaan, dan peluang menganjurkan satu simposium serantau yang diilhamkan daripada Simposium St Gallen.

Selepas tamat pengajian, pelajar akan menerima sijil Kolej Kepujian NTU, selain sijil ijazah masing-masing.

Presiden NTU, Encik Ho Teck Hua, berkata kolej baru itu bertujuan “memupuk individu membuat perubahan besar dan mendorong mereka mencipta dunia yang lebih baik”.

“Kurikulumnya mencetuskan rasa ingin tahu dari segi intelektual, memupuk semangat berbakti dan mencabar pelajar untuk mengubah idea menjadi tindakan,” tambahnya.

Langkah terbaru NTU itu dibuat selepas Universiti Nasional Singapura (NUS) menubuhkan Kolej NUS (NUSC), hasil penggabungan antara Kolej Yale-NUS dengan program sarjana di universiti itu.

NUSC ialah kolej kepujian yang membolehkan pelajar berprestasi tinggi mengikuti pendidikan lebih mencabar.

Pelajar NUSC mengikuti kurikulum merentas disiplin yang meluas, program kehidupan kediaman dan program laluan global yang unggul, di samping pengajian utama mereka.

Kolej tersebut menerima kumpulan pertama seramai 400 pelajar pada Ogos 2022.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg