Pada usia 52 tahun, Cik Ismilina Mohd Ismail, kini mencari peluang kerja baru selepas diberhentikan kerja.
Selepas 20 tahun dalam pengurusan pejabat, termasuk 13 tahun sebagai Pengurus Pejabat di sebuah syarikat insurans marin, beliau berkunjung ke Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands pada 10 Januari.
Pesta Kerjaya Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), yang diadakan di situ bermula 10 hingga 11 Januari, dari 9 pagi hingga 6 petang, menghimpunkan lebih 8,000 hadirin – pencari kerja dan majikan.
Acara tersebut menyediakan sumber berharga untuk ibu tiga anak itu membangunkan semula kerjayanya.
Ini setelah beliau diberhentikan kerja apabila syarikat lamanya dibubarkan.
“Saya harap saya boleh meraih sesuatu (pekerjaan) selepas menganggur kira-kira tiga bulan dan mendidik diri saya mengenai trend pekerjaan terkini dan lengkung pembelajaran,” jelas beliau.
Dengan nasihat pembimbing kerjaya daripada Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i), beliau tidak menganggap usia sebagai halangan dan ingin menambah nilai diri beliau.
“Saya fokus kepada memahami trend pekerjaan terkini dan memperoleh kemahiran yang diperlukan untuk kekal relevan dalam pasaran hari ini.
“Pekerja yang berusia lebih 50 tahun dipandang rendah... Kita boleh saling berkongsi dan belajar dengan rakan sekerja yang lebih muda dalam menggabungkan semua pengetahuan dan kemahiran,” ujar Cik Ismilina.
Seorang lagi peserta adalah Encik Danial Asraf Kamsari, lulusan baru daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) yang memiliki ijazah dalam bidang Kejuruteraan Bioperubatan.
Berkongsi bersama Berita Harian (BH), mendapatkan pekerjaan pertamanya adalah matlamat utama pemuda berusia 27 tahun itu semenjak tamat pengajiannya di universiti pada Julai 2024.
Beliau mendaftarkan dirinya dalam program latihan pengekodan dalam usahanya melengkapkan diri dengan kemahiran penting untuk mengejar jawatan berkaitan teknologi.
Encik Danial, yang meminati peranan pengurusan projek dan kejuruteraan dalam industri penjagaan kesihatan, berharap pesta kerjaya itu dapat memberi peluang baginya menjalin hubungan dengan majikan.
Beliau juga berharap dapat meraih maklumat mengenai peluang pekerjaan yang seiring dengan cita-citanya.
“Acara seperti ini membantu lulusan baru seperti saya memahami sama ada mereka memenuhi keperluan yang diperlukan dalam jawatan yang mereka minati.
“Saya berharap untuk mendapatkan sumber yang akan membantu saya meneruskan pembangunan profesional saya dan mengisi sebarang kekurangan dalam kemahiran saya,” ujar beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg