Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kolej Pengajian Islam tawar program sarjana muda empat tahun

PM Wong: Institusi sedia dua laluan, pengajian Islam atau sains kemasyarakatan
Nov 10, 2024 | 11:08 AM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (enam dari kiri), melancarkan buku ulang tahun kelima M³ bertajuk ‘Realising The Vision of A Community: The M³ Journey’ di Forum M³ pada 10 November. Bersama beliau ialah (dari kiri) AP GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat; AP GRC Marine Parade, Encik Mohd Fahmi Aliman; Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohd Maliki Osman; Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; AP GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar; AP GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim; AP GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah; dan AP GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Sharael Taha.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (enam dari kiri), melancarkan buku ulang tahun kelima M³ bertajuk ‘Realising The Vision of A Community: The M³ Journey’ di Forum M³ pada 10 November. Bersama beliau ialah (dari kiri) AP GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat; AP GRC Marine Parade, Encik Mohd Fahmi Aliman; Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohd Maliki Osman; Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; AP GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar; AP GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim; AP GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah; dan AP GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Sharael Taha. - Foto BH oleh KHALID BABA

Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) akan menawarkan sebuah program sarjana muda sepenuh masa selama empat tahun, dengan dua laluan dalam jurusan pengajian Islam atau sains kemasyarakatan, umum Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Menyifatkan pembentukan kolej itu sebagai satu titik bersejarah dan membanggakan, Encik Wong berkata kolej itu bukan hanya akan menyokong pembangunan perwatakan keagamaan, malah juga memupuk lulusan yang boleh memenuhi keperluan masyarakat secara berkesan.

“Ini akan memberi penuntut asas pengetahuan untuk melayakkan mereka sebagai asatizah, dan juga kemahiran praktikal untuk menceburi kerjaya dalam sektor agama dan berkaitan, seperti kerja sosial.

“Oleh itu, ada yang akan menjadi guru agama, dan ada yang boleh sertai sektor sosial - dan semuanya akan membantu mempertingkat rakyat dalam cara masing-masing,” kata beliau dalam ucap tamanya di Forum M Kuasa Tiga (M³) di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central di Ang Mo Kio pada 10 November.

Forum tersebut meraikan ulang tahun kelima rangkaian tiga institusi utama – Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Yayasan Mendaki dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra).

Penubuhan SCIS yang bakal memupuk dan melahirkan pemimpin Islam setempat pada masa depan diumumkan Encik Wong dalam ucapan sulung Rapat Hari Kebangsaan (NDR) beliau dalam bahasa Melayu pada 18 Ogos.

Kolej itu bertujuan membangunkan asatizah dengan pengetahuan dan kemahiran memberi bimbingan agama mengikut konteks kepada masyarakat Islam yang hidup dalam masyarakat pelbagai seperti Singapura.

Encik Wong berkata SCIS akan bekerjasama dengan institusi tempatan dan antarabangsa yang mapan untuk menyampaikan programnya.

Ini termasuk Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) bagi laluan sains kemasyarakatan, dan institusi Dar al-Ifta di Mesir, Universiti Jordan, dan Universiti Al-Qarawiyyin di Maghribi bagi laluan pengajian Islam.

“Pemimpin institusi tersebut, dan universiti lain seperti Al-Azhar di Mesir, telah memberi sokongan mereka untuk SCIS. Mereka akan menganggotai Panel Penasihatnya, menyumbang perspektif berharga mengenai isu-isu kontemporari yang memberi kesan kepada masyarakat minoriti Islam,” kata beliau.

Muis, dengan sokongan pemerintah, telah membangunkan struktur tadbir urus bagi SCIS, dengan Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir akan ketuai Jawatankuasa Pemandu kolej itu.

Encik Wong berkata Dr Nazirudin seorang individu yang dihormati dalam masyarakat Melayu/Islam, dan telah dilatih secara akademik dalam kedua-dua pengajian Islam dan sains kemasyarakatan.

“Beliau telah memainkan peranan utama dalam membimbing masyarakat dan seorang pejuang bagi pemikiran dan amalan Islam yang progresif,” jelas Encik Wong.

Muis, dalam kenyataannya pula, berkata ia akan mendekati pelbagai kumpulan pihak berkepentingan, termasuk asatizah, guru agama, dan pelajar madrasah, dalam membangunkan kolej itu.

Ia menambah bahawa dengan mempelajari amalan, kepakaran dan pengalaman terbaik daripada institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara, kolej itu diharapkan dapat memenuhi aspirasi lama bagi sebuah kolej tempatan yang melengkapi asatizah dengan kemahiran dan kecekapan yang menangani isu sosioagama rumit dalam persekitaran global hari ini.

Berucap dalam bahasa Melayu, Encik Wong berkata pemerintah bertekad melihat kolej tersebut berkembang maju dan akan memberi sokongan yang diperlukan.

Beliau menambah bahawa masyarakat Melayu/Islam juga ada taruhan untuk memastikan SCIS berkembang maju dan berjaya.

“Anda boleh menyumbang menerusi Wakaf Masyarakat Singapura. Sumbangan anda akan pastikan kolej ini dapat bertahan untuk jangka masa panjang.

“Saya sangat yakin bahawa SCIS akan menyumbang kepada visi Masyarakat Gemilang. Ini satu contoh positif bukan hanya untuk Singapura malah seluruh dunia,” kata beliau.

Encik Wong juga menggalak masyarakat Melayu/Islam agar terlibat sama dalam pelbagai projek yang diusahakan.

“Tidak kira kecil ataupun besar, anda semua boleh mainkan peranan untuk membina masyarakat Melayu/Islam yang anda idam-idamkan di samping membangun masa depan negara kita bersama,” jelasnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg