Kolej Pengajian Islam Singapura yang bakal ditubuhkan akan memberikan pelajar Singapura satu lagi pilihan dalam melanjutkan pelajaran agama di peringkat pengajian tinggi, di mana mereka boleh mendapat penghayatan mendalam terhadap keperluan masyarakat tempatan, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Encik Wong berkata pilihan ini akan memenuhi keperluan Singapura berdasarkan perubahan demografi, budaya berbilang bangsa dan agama dan bagaimana “kita dapat hidup dalam harmoni antara satu sama lain”.
Beliau berkata demikian ketika bertemu dengan media Indonesia pada 5 November sebagai sebahagian daripada rangka lawatan pengenalannya ke Jakarta, Indonesia, selama dua hari.
“Idea Kolej Pengajian Islam sebenarnya adalah untuk melangkah setapak lagi dan bukannya sekadar mengadakan program pensijilan.
“Kami fikir sudah tiba masanya, memandangkan bagaimana kami telah membangunkan (kolej) ini sejak beberapa tahun lalu, untuk mempunyai institusi kami sendiri, Kolej Pengajian Islam kami sendiri, dan kami berharap ini akan menyediakan platform untuk pelajar kami.
“Ada yang masih pergi ke luar negara, tetapi ada yang kemudiannya boleh memilih pilihan tempatan, pilihan Singapura, di mana mereka bukan sahaja boleh mendapatkan pemahaman yang mendalam tentang prinsip Islam, tetapi juga penghayatan terhadap keperluan masyarakat kontemporari, yang dalam kes ini bermakna keperluan Singapura – demografi kita yang berubah, budaya kita yang berbilang kaum, masyarakat kita yang berbilang agama, bagaimana kita boleh hidup harmoni antara satu sama lain? Itu pun penting,” kata beliau.
Penubuhan Kolej Pengajian Islam Singapura yang bakal memupuk dan melahirkan pemimpin Islam setempat pada masa depan itu telah diumumkan Encik Wong dalam ucapan sulung Rapat Hari Kebangsaan (NDR) beliau dalam bahasa Melayu pada 18 Ogos.
Encik Wong turut menjelaskan bahawa bahkan hari ini, terdapat pensijilan possiswazah – program Sjil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) yang dijalankan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) – bagi pelajar memahami prinsip Islam mengikut konteks Singapura bagi golongan yang melanjutkan pengajian Islam di luar negara.
Ini akan membolehkan pelajar yang pulang ke tanah air dari luar negara memahami bukan hanya prinsip Islam, malah kegunaannya dalam konteks Singapura yang berbilang kaum dan agama.
“Dan ia bukan hanya satu kepercayaan, ia pelbagai kepercayaan, dan kita perlu hidup bersama secara harmoni dengan satu sama lain,” kata beliau.
Encik Wong menambah bahawa butiran lanjut mengenai kolej itu sedang diusahakan.
“Kami mungkin akan melakukan ini dengan kerjasama kedua-dua institusi tempatan dan luar negara, namun semua ini masih diusahakan dan kami akan mengumumkannya apabila sedia kelak,” tambah beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg