Anggota bomba yang meninggal dunia semasa menjalankan tugas memadamkan api atas sebuah kapal yang berlabuh di perairan Singapura pada 16 Mei, telah dikenal pasti sebagai Kapten Kenneth Tay Xue Qin, 30 tahun.
Mendiang merupakan komander rota bersama Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) yang cemerlang sejak menamatkan latihan bagi peranan tersebut pada Julai 2018.
Rota – ringkasan bagi putaran – adalah pasukan pegawai SCDF yang bekerja secara syif di balai bomba. Komander rota mengetuai pasukan-pasukan ini.
Dalam hantarannya di Facebook pada 17 Mei, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-undang, Encik K. Shanmugam, melahirkan rasa sedihnya di atas kejadian itu.
“Sebagai pegawai tetap SCDF, Kapten Kenneth Tay meninggal dunia semasa menjalankan tugas. Kapten Tay merupakan Komander Rota.
“Komander Rota memimpin sepasukan pegawai barisan hadapan dalam memberi respons kepada insiden, untuk melindungi orang awam. Amat menyedihkan,” kata Encik Shanmugam yang menyampaikan takziahnya kepada keluarga mangsa.
Menurut beliau, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) akan membantu mereka dalam masa sukar sebegini.
Menjawab pertanyaan The Straits Times, Penguasa Kelautan dan Pelabuhan (MPA) berkata ia dimaklumkan kira-kira 12.05 pagi mengenai kebakaran itu, yang berlaku atas kapal tangki berbendera China, Sheng Hang Hua 6, di kawasan perairan Raffles Reserved Anchorage di barat daya Singapura.
MPA dan SCDF mengerahkan bot ke tempat kejadian dan anggota bomba dari Balai Bomba West Coast Marine tiba kira-kira 1.15 pagi.
SCDF menyatakan Kapten Tay telah digandingkan dengan seorang lagi rakan sekerja untuk memadamkan kebakaran, di dalam bilik enjin yang diselubungi asap kira-kira 3.30 pagi.
Mereka berdua memakai alat pelindung diri.
“Semasa anggota bomba menghalakan pancutan airnya ke arah punca kebakaran, Kapten Tay bergerak di sekeliling bilik enjin dengan pengimej haba, untuk mengesan titik panas lain,” kata SCDF dalam kenyataannya pada 16 Mei.
“Berdasarkan rakaman kamera pada badan pegawai yang dianalisis selepas kejadian, kira-kira 3.53 pagi, Kapten Tay kelihatan menghadapi kesukaran.”
Anggota bomba yang berpasangan dengan Kapten Tay, menyedari apabila beliau tidak menjawab panggilannya dan cuba mencarinya di dalam bilik enjin.
Sekitar 4 pagi, satu lagi pasukan bomba melihat Kapten Tay terbaring di bahagian bawah tangga, kira-kira 4 meter ke bawah.
Menurut SCDF, Kapten Tay kelihatan tidak sihat dan segera dipindahkan walaupun masih sedar, sambil menambah beliau akhirnya tidak sedarkan diri apabila dibawa ke dek terbuka menggunakan pengusung.
Beliau segera dikejarkan ke Hospital Universiti Nasional, di mana Kapten Tay disahkan meninggal dunia.
Kapten Tay menyertai SCDF sebagai pegawai tetap dan memulakan latihan selama 28 minggu dalam Kursus Komander Rota (RCC) pada 26 Dis 2017.
Beliau menyelesaikan RCC pada 6 Julai 2018, dan telah ditempatkan di Balai Bomba Changi sebagai komander rota sehingga 15 Nov 2020.
Beliau berjaya menamatkan Kursus Pakar Pemadam Kebakaran Marin selama lima minggu pada 31 Mei 2022, dan telah dihantar ke Balai Bomba Marin Pantai Barat, sebagai komander rota marin pada 16 Jan 2023.
“
“Sebagai pegawai tetap SCDF, Kapten Kenneth Tay meninggal dunia semasa menjalankan tugas. Kapten Tay merupakan Komander Rota. Komander Rota memimpin sepasukan pegawai barisan hadapan dalam memberi respons kepada insiden, untuk melindungi orang awam. Amat menyedihkan.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg