Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Komander rota SCDF terkorban ketika padam api di kapal

May 16, 2024 | 5:09 PM
Gambar hiasan kapal di kawasan barat daya Singapura.
Gambar hiasan kapal di kawasan barat daya Singapura. - Foto ST

Seorang anggota bomba Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) meninggal dunia ketika memadamkan api dalam sebuah kapal pada dinihari 16 Mei.

Dalam satu kenyataan pada 16 Mei, SCDF berkata ia menerima panggilan mengenai satu kebakaran pada sebuah kapal yang berlabuh di kawasan barat daya Singapura sekitar 12.15 tengah malam.

Anggota bomba dari Balai Bomba Laut West Coast tiba di lokasi dan mendapati asap sedang keluar dari bilik enjin kapal berkenaan.

Seorang komander rota, yang merupakan seorang pegawai tetap, memutuskan memadamkan api di bilik enjin kapal itu secara berpasangan dengan seorang lagi anggota bomba.

Pegawai komander rota itu meninjau bilik berkenaan dengan alat pemantau suhu kepanasan bagi mengesan titik panas lain di bilik tersebut sementara rakannya menyasarkan jet air pada sumber kebakaran.

Rota – ringkasan bagi putaran – adalah pasukan pegawai SCDF yang bekerja secara syif di balai bombanya.

Komander Rota mengetuai pasukan-pasukan ini.

Dalam kenyataan itu, SCDF berkata: “Ketika operasi memadam api itu sedang dijalankan, sepasukan pegawai bomba yang sedang memasuki bilik tersebut untuk menyokong operasi itu terlihat komander rota berkenaan terbaring di bawah tangga, empat meter di bawah.”

Beliau ditemui masih sedarkan diri namun kelihatan kurang sihat dan kemudian dipindahkan dengan segera, kata SCDF.

Komander rota itu kemudian tidak sedarkan diri dan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) diberikan kepadanya sebelum beliau dibawa ke Terminal Feri Pasir Panjang dan kemudian ke Hospital Universiti Nasional (NUH).

Beliau tiba di hospital itu sekitar 5.50 pagi dan disahkan meninggal dunia di situ.

“SCDF amat berduka cita mengenai pemergian salah seorang pegawai kami,” kata SCDF.

“Kami sedang menawarkan sokongan sepenuhnya kepada keluarganya.”

SCDF menambah bahawa siasatan sedang berterusan dan butiran lanjut akan diberi apabila ia sudah tersedia.

Pegawai tersebut adalah anggota bomba kedua SCDF yang terkorban ketika menjalankan tugas memadamkan api.

Yang pertama, seorang pegawai Perkhidmatan Negara (NS) sepenuh masa, mendiang Edward H. Go, mengalami sesak nafas lalu meninggal dunia sewaktu melawan api di sebuah flat HDB di Block 91 Henderson Road pada 8 Disember 2022.

Sarjan 1 Go dipercayai dibiarkan sendirian di dalam flat tingkat empat itu untuk memadamkan api, dan pemeriksaan autopsi mendapati mendiang meninggal dunia akibat sesak nafas kerana oksigen dalam tangkinya kehabisan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg