Ketika kali pertama berdiri di ambang pintu pesawat pada ketinggian beribu kaki, Koperal Kelas Pertama (CFC) Akmal Danial Rashiddin Abdul Latif, 20 tahun, tidak dapat menyembunyikan rasa gementar yang menyelubungi dirinya.
Namun, sebagai rekrut dalam Unit Komando Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), beliau sedar satu-satunya jalan keluar ialah dengan menempuh cabaran itu sendiri.
“Berdiri pada ketinggian sedemikian, sesiapa pun akan berasa gentar.
“Tetapi antara pesanan jurulatih saya yang kekal tersemat dalam hati adalah untuk melalui cabaran itu, dengan penuh keberanian,” katanya.
Antara latihan intensif yang dilaluinya termasuk ujian Pusat Penilaian Latihan Tentera (ATEC) selama sebulan di luar negara, yang membantunya untuk mengatasi ketakutan yang mengasak di jiwa dan membina daya ketahanan mental serta fizikal.
Ini menjadi asas penting dalam pembentukan jati dirinya, sebagai antara anggota Batalion Komando Pertama (1 CDO), yang baru-baru ini, dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Unit Tempur Terbaik Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) buat tahun ke-22 berturut-turut.
Anugerah itu disampaikan secara tahunan kepada unit SAF dengan prestasi cemerlang dari segi kesediaan kombat, kemahiran mengendali operasi dan kecekapan pentadbiran anggotanya.
“Kemenangan ini tidak berlaku secara kebetulan. Namun, ia dicapai kerana setiap anggota Komando percaya dengan misi yang dijalani, meletakkan usaha yang melangkaui batas dan tidak pernah berpuas hati dengan pencapaian sederhana.
“Ia adalah satu budaya yang dibina sejak sekian lama dan diperkukuh melalui kerjasama, disiplin, serta komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap kecemerlangan,” kata Pegawai Komand 1 CDO, Leftenan Kolonel Kok Yi Long.
Malah, perjalanan CFC Akmal tidak bermula dengan mudah.
Beliau hanya memperoleh kelulusan minimum dalam Ujian Kecekapan Jasmani Perseorangan (IPPT) kerana mempunyai sejarah sesak nafas semasa kecil.
Namun, dengan sokongan jurulatih dan rakan-rakan seperjuangan, beliau berjaya membaiki prestasi dan mencapai gred emas, yang menandakan kelayakan beliau untuk memakai beret merah, yang menjadi lambang kebanggaan anggota Komando.
“Latihan memang mencabar. Sejujurnya, ada kalanya timbul rasa ingin putus asa,” kata beliau.
Sebagai pakar senjata, CFC Akmal juga memainkan peranan penting dalam operasi taktikal dan misi simulasi yang menuntut ketepatan serta ketahanan.
Beliau turut dilatih dalam kemahiran asas perubatan, komunikasi dan letupan, yang membantu dalam pembentukan pasukan serba boleh, katanya.
“Setiap anggota perlu saling melengkapi. Jika seorang tercedera, yang lain harus tahu cara mengambil alih.
“Setiap daripada kami harus pulang dengan selamat,” jelasnya.
“Jadi, saya juga terdorong untuk teruskan perjuangan apabila saya lihat rakan-rakan lain terus bertahan,” ujar beliau.
Pengalaman menyertai unit tersebut juga mendewasakan beliau daripada segi emosi.
Sebagai anak bongsu tiga beradik, beliau beberapa kali terpaksa berjauhan daripada keluarga bagi tempoh yang panjang.
“Sepanjang tempoh latihan, saya memang rindukan keluarga. Ia bukan sesuatu yang mudah, tetapi saya anggap ia sebahagian daripada pengorbanan untuk lalui perjalanan ini,” katanya.
Menjelang tamat Perkhidmatan Negara (NS) pada November 2025, beliau bercadang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejururawatan di Universiti Nasional Singapura (NUS).
Segala pelajaran dan pengalaman yang diperoleh tidak akan disia-siakan, malah akan diterapkan dalam setiap langkah kerjaya, khususnya dalam menghadapi tekanan dan bekerjasama dalam persekitaran berintensiti tinggi seperti bidang kesihatan.
“Apa yang saya pelajari semasa NS, seperti bekerjasama dalam suasana penuh tekanan, membuat keputusan dengan tepat dan kekal tenang dalam situasi mencabar, sangat selari dengan tugas seorang jururawat.
“Nilai-nilai ini, serta hubungan persahabatan di sini, akan terus menjadi asas dalam kerjaya saya kelak,” kata beliau.
“
Setiap anggota perlu saling melengkapi. Jika seorang tercedera, yang lain harus tahu cara mengambil alih. Setiap daripada kami harus pulang dengan selamat. Jadi, saya juga terdorong untuk teruskan perjuangan apabila saya lihat rakan-rakan lain terus bertahan.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg