Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kapal marin terkini SCDF tangani kebakaran, kecemasan di perairan S’pura

Jun 25, 2025 | 7:22 PM
SCDF, kapal marin, Blue Dolphin
‘Blue Dolphin’ akan menjadi kapal utama bagi menangani kejadian besar seperti kebakaran, operasi menyelamat dan kejadian melibatkan bahan kimia. - Foto ST

Sejajar dengan peningkatan kegiatan maritim yang dijangka berlangsung di Singapura – termasuk pelabuhan kapal pelesiran Disney Cruise Line di sini – dalam masa terdekat, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) telah melancarkan kapal penyelamat marin terbarunya, Blue Dolphin.

Ia bertujuan memperkukuh keupayaannya melindungi perairan negara, termasuk menangani kebakaran dan kecemasan lain.

Perasmian itu merupakan langkah pertama SCDF dalam fasa pembangunan seterusnya.

Mereka akan menambah tiga lagi kapal baru menjelang 2030, menjadikan jumlah keseluruhan armada kepada 10 kapal.

Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong, berkongsi perkembangan itu dalam majlis perasmian Blue Dolphin di Kelab Kapal Layar Republik Singapura pada 25 Jun.

Isteri beliau, Cik Au Huey Ling, merasmikan kapal itu dalam satu upacara simbolik.

Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong (tengah) meninjau kapal penyelamat marin terbaru SCDF, Blue Dolphin di majlis perasmian kapal itu di Kelab Kapal Layar Republik Singapura pada 25 Jun. Beliau ditemani (dari kiri) 
Penolong Pesuruhjaya (AC) Ryan Ong; Komander Balai Bomba Marin West Coast, Mejar Keave Soh; isteri Encik Tong, Cik Au Huey Ling; dan Pesuruhjaya SCDF, Encik Eric Yap.
Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong (tengah) meninjau kapal penyelamat marin terbaru SCDF, Blue Dolphin di majlis perasmian kapal itu di Kelab Kapal Layar Republik Singapura pada 25 Jun. Beliau ditemani (dari kiri) Penolong Pesuruhjaya (AC) Ryan Ong; Komander Balai Bomba Marin West Coast, Mejar Keave Soh; isteri Encik Tong, Cik Au Huey Ling; dan Pesuruhjaya SCDF, Encik Eric Yap. - Foto ST

“Keupayaan Divisyen Marin SCDF, saya boleh katakan, amat penting dalam landskap maritim yang sedang berkembang pesat.

“Industri pelayaran Singapura sendiri sedang berkembang, dengan semakin banyak kapal pelesiran berlabuh di pelabuhan Singapura.

“Sebagai contoh, Disney Cruise Line akan melancarkan pelayaran sulungnya dari Pusat Kapal Pelesiran Singapura pada penghujung 2025, dan ini bermakna lebih banyak kapal bersaiz besar, dengan lebih ramai penumpang, akan berada di perairan Singapura,” katanya.

Kapal pelesiran tersebut boleh membawa 6,000 penumpang dan 2,300 anak kapal.

Beliau turut menggariskan operasi Pelabuhan Mega Tuas yang akan menjadi pelabuhan kontena terbesar di dunia menjelang 2040.

Lantas, kadar pergerakan kapal yang tinggi akan menjadikan perairan Singapura antara yang paling sibuk di peringkat dunia, tambahnya.

“Justeru, bagi menghadapi cabaran-cabaran ini, SCDF komited dalam memperkukuh keupayaannya demi memastikan keselamatan perairan kita terus dipelihara secara aktif dan berkesan.

Blue Dolphin merupakan langkah pertama dalam fasa pembangunan seterusnya ini,” ujarnya.

Mula beroperasi pada Oktober, Blue Dolphin, akan berpangkalan di Balai Bomba Marin West Coast.

Ia akan menjadi kapal utama bagi menangani kejadian besar seperti kebakaran, operasi menyelamat dan insiden melibatkan bahan kimia.

Blue Dolphin, yang berukuran 38 meter panjang, ialah kapal penyelamat marin generasi kedua (MRV2G), tiga meter lebih panjang berbanding kapal terdahulu, kapal penyelamat marin generasi pertama (MRV1G), Red Dolphin.

Antara perbezaan ketara antara kedua-duanya ialah keluasan Blue Dolphin yang membolehkan pemasangan heli-winch, atau peranti mekanikal yang dipasang pada helikopter, bagi memudahkan pemindahan mangsa melalui helikopter Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Saiz kapal yang lebih besar juga membolehkan ruang peralatan perlindungan diri (PPE) dan bilik penyelamat lebih luas – yang boleh memuatkan 30 penumpang – sekali gus memperbaiki kelancaran operasi.

Dibina SCDF bersama Penguin Shipyard International, Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX) serta Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTA), Blue Dolphin mampu bergerak pada kelajuan sehingga 30 knot dan menampung sehingga 30 mangsa yang boleh duduk.

Satu lagi ciri yang tidak terdapat pada Red Dolphin ialah pos kawalan bersepadu, yang boleh mengumpulkan maklumat daripada kamera, pengesan dan log operasi kapal untuk menyelaras tindak balas kecemasan.

Kamera pada kapal baru turut memberikan rakaman yang lebih jelas tentang perairan sekeliling kepada kru operasi, dan dilengkapi dengan sistem analitik video bagi membantu mereka mengenal pasti sasaran berpotensi di dalam air semasa operasi mencari dan menyelamat.

Ruang peralatan perlindungan diri (PPE) di ‘Blue Dolphin’.
Ruang peralatan perlindungan diri (PPE) di ‘Blue Dolphin’. - Foto ST
Bilik penyelamat di ‘Blue Dolphin’, yang boleh memuatkan 30 penumpang. 
Bilik penyelamat di ‘Blue Dolphin’, yang boleh memuatkan 30 penumpang.  - Foto ST
Pos kawalan bersepadu dapat mengumpul maklumat daripada kamera kapal, pengesan, dan log operasi untuk menyelaras tindak balas kecemasan.
Pos kawalan bersepadu dapat mengumpul maklumat daripada kamera kapal, pengesan, dan log operasi untuk menyelaras tindak balas kecemasan. - Foto ST

Sejak 2012 apabila Divisyen Marin SCDF mengambil alih fungsi pemadaman kebakaran maritim daripada Penguasa Kelautan dan Pelabuhan (MPA), ia telah berkembang daripada dua kapal dan sebuah balai bomba kepada armada yang kini merangkumi tujuh kapal (termasuk Blue Dolphin), yang beroperasi daripada dua balai bomba marin dan dua pos bomba marin.

Selain Blue Dolphin, kapal selainnya termasuk Red Dolphin; Red Manta; Red Sailfish; Red, Blue dan White Swordfish.

Membina daripada keupayaan mencari dan menyelamat yang dimiliki Red Dolphin, kapal baru itu dilengkapi dengan Bot Pelampung Berbentuk Tegar (RHIB) yang dipertingkat.

Ia kini boleh digunakan untuk memadam kebakaran di atas bot kecil yang tidak bergerak.

Bot itu juga boleh menjalankan pencarian di sepanjang pantai dengan menggunakan sistem sonar, yang menggunakan gelombang bunyi untuk mengesan individu dan objek sehingga tujuh meter di dalam permukaan air.

Bot Pelampung Berbentuk Tegar (RHIB) yang dipertingkat kini boleh digunakan untuk memadam kebakaran di atas bot kecil yang tidak bergerak. 
Bot Pelampung Berbentuk Tegar (RHIB) yang dipertingkat kini boleh digunakan untuk memadam kebakaran di atas bot kecil yang tidak bergerak.  - Foto ST

Untuk menangani kecemasan bahan kimia, Blue Dolphin dilengkapi dengan sensor khas yang boleh mengesan dan mengenal pasti bahan kimia berbahaya dalam air, sehingga jarak lima kilometer.

Sistem kimia, biologi dan radiologinya pula boleh memantau serta menetapkan sempadan kawasan berbahaya sebelum anggota penyelamat dikerahkan.

Menjelang 2030, Divisyen Marin akan mengendalikan 10 kapal, dan akan disokong oleh Ibu Pejabat Divisyen Marin yang baru di Brani, yang dijadualkan buka pada 2026.

Sebuah lagi pos bomba marin di Northshore Crescent, Punggol dijangka siap menjelang 2028.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg