Kompleks Padang Menembak Berbilang Misi baharu bakal dibina di Kem Bedok
Kompleks Padang Menembak Berbilang Misi baharu bakal dibina di Kem Bedok
RSAF akan peroleh tiga pesawat ‘Gulfstream G550’ baharu bagi tingkat kesedaran maritim, beri amaran awal
Sebuah Kompleks Padang Menembak Berbilang Misi baru (MMRC 2.0) akan dibina di Kem Bedok – terletak hanya dua minit dari stesen MRT Sungei Bedok yang akan datang.
Dijadualkan beroperasi sepenuhnya menjelang 2031, kompleks baharu ini akan melengkapi MMRC sedia ada di Pasir Laba dan membolehkan anggota tetap dan anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF) mempunyai lebih banyak peluang untuk mengasah kemahiran mereka dalam penggunaan senjata.
Lebih ramai orang seperti sukarelawan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan kadet daripada Pasukan Kadet Kebangsaan (NCC) juga akan dapat merasai sebahagian daripada Perkhidmatan Negara (NS) di kemudahan tembakan langsung secara tertutup yang berteknologi tinggi dan canggih itu.
Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, yang membuat pengumuman itu semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 27 Februari.
Menurutnya, kompleks baharu itu juga akan membolehkan askar mengasah teknik berbalas dron.
“Selain daripada peningkatan kapasiti, MMRC 2.0 akan membolehkan askar kita berlatih dengan lebih realistik dan tepat merentasi pelbagai senario dan domain yang berbeza melalui Sistem Sasaran Video (VTS) yang baharu,” kata Encik Chan.
Kompleks baharu itu akan menampilkan enam lapangan tembak 100 meter, semuanya dilengkapi sepenuhnya dengan VTS, dengan dua lapangan tembak yang akan dibina pada ketinggian berganda bagi memudahkan senario latihan berpasukan menggunakan peralatan tanpa pemandu.
Sesi latihan tembakan langsung akan dijalankan dengan latar belakang senario medan perang yang didayakan oleh VTS, yang juga akan menampilkan keupayaan penciptaan senario yang pantas untuk memenuhi keperluan misi dan latihan yang berkembang.
Sama seperti MMRC di Pasir Laba, kompleks baharu itu akan mengoptimumkan penggunaan tanah dan ruang latihan dengan menggantikan enam lapangan tembak luar, lantas meningkatkan bilangan askar yang boleh menjalani latihan.
“Ia juga akan lebih mudah bagi askar kita untuk berlatih di MMRC 2.0,” kata Encik Chan, yang juga Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam.
“NSmen boleh menempah lapangan tembak untuk latihan dengan mudah melalui aplikasi OneNS, tanpa perlu melalui unit induk mereka.
“Sudah lama menjadi visi peribadi saya agar NSMen kita boleh pergi ke padang menembak untuk mengasah kemahiran mereka sepertimana mereka pergi ke lorong boling.”
Semasa Parlimen, Encik Chan turut mengumumkan bahawa Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) akan memperoleh tiga Pesawat Pengawasan Maritim (MSA) Gulfstream G550 baharu untuk meningkatkan kesedaran maritim dan memberi amaran awal tentang ancaman maritim.
Ia akan menggantikan Fokker-50 yang telah beroperasi untuk keselamatan maritim sejak 1993.
Bersama-sama dengan Pesawat Rondaan Maritim Boeing P-8A, G550-MSA akan menyokong misi SAF dalam melindungi Laluan Komunikasi Laut Singapura sebagai sebahagian daripada rangkaian pengawasan keselamatan maritim Singapura.
“Mempunyai keupayaan konvensional yang mantap kekal menjadi teras kepada pencegahan yang kukuh dan boleh dipercayai. Kita mesti terus memodenkan dan menaik tarafnya untuk bersaing dengan ancaman di sekeliling kita,” kata Encik Chan.
Pesawat baharu itu dilengkapi dengan sistem radar, kamera elektrooptik/inframerah, sistem komunikasi dan pengenalpastian yang membolehkannya mengesan, mengenal pasti dan menjejaki pelbagai ancaman maritim yang berpotensi secara serentak.
Semasa ucapannya juga, Encik Chan berkongsi bahawa Kapal Tempur Pelbagai Peranan (MRCV) kedua – dilengkapi dengan keupayaan tempur frigat moden – berada di landasan yang betul untuk dilancarkan pada suku ketiga 2026.
MRCV pertama, dinamakan Victory, telah dilancarkan pada 21 Oktober 2025 oleh Encik Chan dan isterinya di Limbungan Kapal Benoi ST Engineering, dan mempunyai kapasiti pengangkutan dan kawalan “kapal induk” untuk sistem tanpa pemandu.
Selain ‘perkakasan’ fizikal, Encik Chan berkata Singapura juga mesti terus memberi tumpuan kepada membina keupayaan dalam domain siber.
Ini termasuk mengubah semula Pusat Ujian dan ‘Penilaian’ Pertahanan Siber (CyTEC), sebagai Pusat Ujian dan ‘Eksperimen’ Pertahanan Siber.
Selain latihan pembela siber Singapura, CyTEC akan dilengkapi dengan teknologi canggih untuk memudahkan inovasi dan memperkukuhkan keselamatan siber, kata Encik Chan.
Menurut Mindef, CyTEC yang dinaik taraf akan dapat mensimulasikan senario pertahanan siber yang lebih canggih yang mencerminkan rangkaian dunia sebenar kita.
Ia juga akan dapat melakukannya secara berskala besar dengan bantuan kecerdasan buatan (AI), untuk memudahkan kerjasama yang lebih kompleks dengan rakan kongsi keseluruhan pemerintah (WoG), pemilik Prasarana Maklumat Penting (CII) dan syarikat komersial.
“
“Selain daripada peningkatan kapasiti, MMRC 2.0 akan membolehkan askar kita berlatih dengan lebih realistik dan tepat merentasi pelbagai senario dan domain yang berbeza melalui Sistem Sasaran Video (VTS) yang baharu.”
