Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Komposer, pemain akordion muzik Melayu diiktiraf Anugerah Artis Muda

Pengarah artistik, Boon Teck serta artis seni khat dan dakwat Cina, Swee Leng terima Pingat Kebudayaan
Nov 27, 2025 | 6:30 PM
Anugerah Artis Muda, Pingat Kebudayaan
Syafiqah ‘Adha Mohamed Sallehin diiktiraf sebagai penerima Anugerah Artis Muda 2025. - Foto BH oleh KHALID BABA

Ramai mengenalinya sebagai pemain akordion.

Namun, sumbangan Syafiqah ‘Adha Mohamed Sallehin, kepada dunia seni jauh lebih luas.

Muziknya bukan sahaja menggabungkan latihan klasik Barat dan muzik tradisional Melayu, bahkan ibu kepada seorang anak itu mempunyai matlamat lebih besar, iaitu menggunakan muzik sebagai alat untuk menyatukan pelbagai kaum di Singapura.

Berkat ketekunannya dalam bidang muzik, Syafiqah, 35 tahun, juga seorang komposer, diiktiraf dengan Anugerah Artis Muda dalam satu majlis yang diadakan di Istana pada 27 November.

Beliau merupakan salah seorang daripada lima artis muda yang menerima pengiktirafan tersebut kerana telah menunjukkan potensi kecemerlangan seni serta kepimpinan dalam bidang seni sastera, seni persembahan, seni visual dan perfileman.

Empat artis lain yang menerima Anugerah Artis Muda ialah pembuat filem, Alvin Lee Chang Rong, 34 tahun; penulis cereka Inggeris, Daryl Qilin Yam, 34 tahun; pereka cahaya, Genevieve Peck Jing Yi, 35 tahun; serta penulis, pendidik dan pengkritik sastera, He Yingshu, 35 tahun.

Dihubungi Berita Harian (BH), Syafiqah meluahkan kesyukuran, malah mengakui beliau sebenarnya terkejut apabila menerima berita gembira itu.

“Saya berharap dengan anugerah ini, ia akan membuka mata orang ramai tentang muzik Melayu serta bakat yang ada di Singapura.

“Ia satu penghormatan untuk menerima anugerah ini dan ia mendorong saya untuk teruskan amanah ini, tidak kira dalam landskap klasik, kontemporari mahupun muzik tradisional atau gabungannya sekali,” ujar pengasas ensembel, Gendang Akustika itu.

Bagi Cik Syafiqah, beliau percaya muzik mampu menyatukan kaum yang berbeza dan disebabkan itulah beliau giat bekerjasama dengan pemain muzik daripada bangsa lain dalam persembahannya.

Sebagai contoh, projeknya yang terkini termasuk simfoni berbilang etnik bertajuk ‘Reminiscing Geylang Serai’ (Mengimbau Geylang Serai), pada 2024, di mana beliau bermain akordion bersama Orkestra Simfoni Kebudayaan Asia.

Selain itu, beliau juga pernah bekerjasama dengan GIMA Band pada 2021 dan memainkan muzik, River of Harmony, yang merupakan gabungan muzik tradisional daripada pelbagai kaum yang terdiri daripada akordion, tabla, gitar, bes dan morin khuur (alat muzik bertali dengan busur dari Mongolia).

Menurut Cik Syafiqah, walaupun alat muzik berasal daripada bangsa yang berlainan, penggubah muzik sepertinya memainkan peranan memastikan muzik yang dihasilkan itu bersepadu secara keseluruhan untuk dipersembahkan.

“Ini mencerminkan budaya kita sebagai satu negara, yang mana secara semula jadinya mengumpulkan budaya berbeza untuk bekerjasama dan menggubah muzik bersama.

“Dalam bidang muzik tradisional Melayu, hanya ada segelintir sahaja penggiatnya, justeru perlu untuk kita tampil bekerjasama dengan pemuzik daripada budaya lain,” katanya yang merupakan penerima Anugerah Jauhari Inspirasi BH pada 2018.

Cik Syafiqah juga merupakan pengasas bersama, Open Score Project, ensembel silang budaya yang mencipta karya asli dengan menggabungkan alat muzik tradisional daripada pelbagai budaya, sambil meraikan kekayaan kepelbagaian budaya Singapura melalui muzik.

Sewaktu acara penyampaian anugerah, dua lagi artis – pengarah artistik, Goh Boon Teck, 54 tahun; dan artis seni khat dan dakwat Cina, Encik Nai Swee Leng, 79 tahun – diiktiraf dengan Pingat Kebudayaan.

Anugerah itu bertujuan mengiktiraf individu yang mencapai kecemerlangan artistik dalam bidang masing-masing serta memberikan sumbangan bermakna kepada seni dan budaya negara.

Presiden Tharman Shanmugaratnam, selaku tetamu terhormat bagi majlis tersebut berkata sambutan ulang tahun Singapura ke-60 tahun merupakan waktu yang baik untuk mengenang peranan seni dalam pentafsiran kisah Singapura.

“Penerima Pingat Kebudayaan dan Anugerah Artis Muda 2025 sendiri menyuarakan banyak memori dan harapan sepanjang perjalanan tersebut.

“Mereka membantu membentuk kefahaman kolektif kita tentang diri kita sendiri,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg