Konflik global yang semakin memuncak seperti antara Israel dengan Iran, serta Ukraine dengan Russia, telah mendorong Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) untuk terus memperkukuh keupayaannya sekiranya perlu bertindak dalam medan pertempuran.
Antaranya termasuk memperluas penggunaan dron serta menempatkan pasukan jurutera sofwe yang mampu mengemas kini sistem pertempuran secara langsung.
Justeru Latihan Forging Sabre (XFS) 2025, yang sedang berlangsung di Idaho, Amerika Syarikat, di mana SAF berlatih dalam persekitaran latihan yang lebih luas dan mencabar daripada di Singapura, adalah penting bagi memenuhi sasaran tersebut, kata Pengarah Latihan XFS25, Brigedier Jeneral (BG) Teo Soo Yeow.
Ini merupakan edisi ke-10 latihan tersebut berlangsung, dan kali ini seramai 800 anggota SAF dan Teknologi Pertahanan terlibat sama dalam latihan itu.
Menyatakan demikian pada 9 September semasa ditemui di Pangkalan Angkatan Udara Mountain Home (MHAFB), BG Teo, 48 tahun, yang juga Panglima Markas Udara Tempur Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF), berkata latihan yang berlangsung dari 6 hingga 21 September itu diadakan pada waktu yang amat tepat.
“Kami telah mengambil banyak pengajaran daripada konflik global yang kami perhatikan dan menerapkannya dalam latihan ini untuk memastikan ia kekal relevan sekiranya berada di medan pertempuran pada masa hadapan.”
Antara aspek baru ialah peningkatan dalam penggunaan dron, khususnya sistem yang boleh beroperasi pada pelbagai ketinggian dalam keadaan cuaca yang berbeza.
Dron sedemikian mampu bertahan lama di medan perang, memberikan sudut pemantauan berbeza serta bertindak sebagai sokongan tambahan kepada peralatan tentera lain, menurut BG Teo.
“Maklumat sebegini membolehkan kami melaksanakan serangan dengan tepat pada masa yang kami pilih,” katanya.
Selain dron, latihan itu turut disertai jurutera perisian daripada kumpulan Tangkas Berinovasi Digital RSAF (RAiD).
Pasukan perintis itu, yang merupakan sebahagian daripada RSAF, boleh membuat penyesuaian perisian secara langsung sekiranya berada di medan peperangan.
Seperti mana aplikasi telefon pintar, para jurutera ini “memastikan sofwe yang digunakan dapat dikemas kini dengan pantas agar dapat disesuaikan dalam misi yang dijalankan dalam latihan tersebut”.
Kecerdasan buatan (AI) turut memainkan peranan lebih besar dalam latihan kali ini.
Dengan disepadukan ke dalam sistem maklumat arahan dan kawalan SAF, AI membantu komander pasukan memproses data dalam jumlah besar serta membuat keputusan yang lebih pantas dan tepat dalam operasi yang sulit.
“AI memperkukuh proses membuat keputusan di markas komand, sekali gus meningkatkan keupayaan kami menyelaras operasi bersepadu,” jelas BG Teo.
Walaupun terdapat keupayaan baru ini, BG Teo menegaskan bahawa apa yang terkandung dalam Latihan Forging Sabre tidak pernah berubah sejak ia kali pertama diadakan dua dekad lalu.
Latihan tersebut kekal sebagai wadah penting bagi SAF untuk mempertajamkan keupayaan kesan dan serang, atau sense-and-strike, secara bersepadu melalui latihan realistik di kawasan latihan luas di Amerika Syarikat.
“Walaupun ini edisi ke-10 Latihan Forging Sabre, ia terus memberikan nilai yang unik bagi kami untuk mengasah dan memperkukuh keupayaan dalam melaksanakan operasi bersepadu dengan jayanya,” kata BG Teo.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg