Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) menggesa masyarakat Islam di Singapura supaya kekal tenang menghadapi konflik Israel-Palestin yang melibatkan keganasan berterusan dan kehilangan ribuan nyawa.
Pergas melahirkan keyakinan masyarakat Islam di sini dapat bersikap matang dan bertanggungjawab dalam tindak balasnya dan menerima berita mengenai serangan dan keganasan ini.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Jumaat, Pergas berkata ia amat prihatin dan memandang serius terhadap serangan yang berlaku.
“Keganasan hanya melahirkan keganasan.
“Segala bentuk radikalisme, kezaliman dan penindasan daripada mana-mana individu atau kumpulan adalah tidak boleh diterima. Ia bercanggah dengan ajaran Islam yang memupuk keamanan dan keharmonian,” kata Pergas.
“Pergas menyeru masyarakat Islam di Singapura supaya bertenang dalam menghadapi kesusahan seperti ini. Pergas yakin masyarakat Islam mampu matang dan bertanggungjawab dalam tindak balas dan menerima berita tentang serangan dan keganasan ini.
“Malah, kami ingin menggalakkan masyarakat Islam di Singapura supaya mencontohi dan mengikut etika Nabi Muhammad saw yang sering memilih keamanan dan keharmonian walaupun pada masa ketika beliau ditindas.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg