ChildAid 2024, konsert amal tahunan yang dianjurkan The Straits Times (ST) dan The Business Times (BT), telah mengumpul sekitar $2.1 juta hasil jualan tiket dan sumbangan derma.
Antara mereka yang memberi sumbangan itu termasuk bank UOB; syarikat pakar struktur keluli, TTJ Design & Engineering; serta pengasas dan ketua eksekutif MES Group, Encik Mohamed Abdul Jaleel.
Wang tersebut disalurkan ke Dana Wang Saku Sekolah ST (STSPMF), yang menaja makan tengah hari dan yuran pengangkutan kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah, serta Dana Seniman Muda BT (BT BAF), yang menyokong anak muda berbakat dalam bidang seni daripada keluarga kurang bernasib baik.
Meraikan ulang tahun konsert amal ChildAid yang ke-20, persembahan gala ChildAid 2024 di Teater Esplanade pada 30 November, disambut dengan kehadiran Presiden Tharman Shanmugaratnam sebagai tetamu terhormat.
Bertajuk The Dream Emporium, konsert kali ini – yang diadakan pada 29 dan 30 November – membawa penonton ke satu dunia di mana impian kanak-kanak dihidupkan melalui lagu, tarian, dan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Ketua Editor Kumpulan Media Inggeris/Melayu/Tamil, SPH Media dan pengerusi BT BAF, Encik Wong Wei Kong, berkata:
“Adalah sangat menggembirakan dapat mengumpulkan bakat muda untuk menyampaikan persembahan ini.
“Sejak 2005, ChildAid telah mengumpul lebih $30 juta... untuk membantu kanak-kanak daripada latar belakang yang kurang bernasib baik.”
Editor BT, Cik Chen Huifen, berkata acara kali ini bukan sahaja bertujuan menyusuri legasi yang telah dicipta, tetapi juga memandang hadapan satu masa depan yang sedang dibina bersama.
Bagi Editor ST, Encik Jaime Ho, beliau berasa bangga kerana beberapa bakat yang mencipta nama dalam konsert ChildAid sebelum ini telah kembali untuk menyertai persembahan tahun ini.
Amni Musfirah misalnya, berusia 14 tahun ketika beliau pertama kali menyanyi di konsert ChildAid pada 2008.
Kini berusia 30 tahun, Amni memimpin konsert ChildAid 2024 sebagai pengarah kreatif bersama, di samping Joshua Quek, penolong pengarah multimedia di syarikat hiburan media NoonTalk Media.
Konsert amal Child Aid 2024: The Dream Emporium ditulis dan diarahkan oleh pelakon, penulis, dan pengarah berusia 29 tahun, Encik Krish Natarajan.
Sumbangan derma masih diterima hingga akhir Disember. Orang ramai yang ingin menyumbang boleh melayari laman web www.giving.sg/donate/campaign/childaid2024 atau menghantar e-mel ke emailus@spmf.org.sg.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg