Konsert Michael Learns To Rock bak jambatan penyatu kasih dua generasi

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Konsert Michael Learns To Rock bak jambatan penyatu kasih dua generasi

Feb 16, 2026 | 5:30 AM

Konsert Michael Learns To Rock bak jambatan penyatu kasih dua generasi

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Michael Learns to Rock, MLTR, konsert, balada
Kumpulan, Michael Learns to Rock, dianggotai oleh (dari kiri) gitaris, Mikkel Lentz; penyanyi, Jascha Richter (tengah); dan pemain dram, Kåre Wanscher; berjaya menghiburkan peminat mereka dengan deretan lagu popular yang diminati ramai. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Sejak awal 1990-an, Cik Siti Maisarah Mikhail Adam, 40 tahun, sudah terpikat dengan lagu balada cinta band Denmark, Michael Learns To Rock (MLTR).

Lagu seperti 25 Minutes akan menjadi santapan halwa telinga dan juga lagu yang akan didendangkannya setiap kali menyanyi karaoke di rumah.

“Di rumah dulu, kami ada set karaoke. Lagu-lagu MLTR sangat seronok dijadikan karya ‘singalong’ (mudah dinyanyikan bersama).

“Irama dan melodinya juga sudah melekat di hati. Lagu kegemaran saya sampai sekarang ialah 25 Minutes,” kata Cik Siti Maisarah, seorang pembantu pentadbiran.

Justeru, beliau adalah antara yang terhibur apabila MLTR mengadakan konsert di The Star Theatre pada 5 Februari.

Konsert anjuran Unusual Entertainment itu memang laris dengan lautan penonton mengisi ruang dewan yang boleh menampung 5,000 orang itu.

Cik Siti Maisarah membelanjakan sekitar $134 untuk menyaksikan konsert tersebut.

Menurutnya, pengalaman menonton secara langsung amat memuaskan.

Namun, beliau mencadangkan agar penganjur mempertimbangkan penjualan barangan atau prop sokongan rasmi seperti hand clapper atau pom-pom untuk menambah keterlibatan penonton.

“Persembahan begitu bertenaga dengan susunan lagu yang teratur dan kemas.

“Mungkin penonton di tingkat atas akan lebih mudah menikmati persembahan sekiranya beberapa skrin tambahan turut dipasang di dewan,” tambah beliau.

Ternyata, MLTR yang penuh bertenaga itu berupaya mengukuhkan kedudukannya sebagai kumpulan yang terus relevan merentas zaman 1990-an hingga kini.

Ditubuhkan pada 1988, trio itu dianggotai oleh Jascha Richter (vokalis); Mikkel Lentz (gitaris); dan Kåre Wanscher (pemain dram).

Sejak awal 1990-an, MLTR dikenali dengan lagu balada pop yang mudah dinyanyikan bersama, sarat emosi dan kekal malar segar, dan ini menjadikan mereka antara kumpulan Barat paling popular di Asia Tenggara, khususnya di Singapura.

Selain menghiburkan, konsert Encore All The Hits selama dua jam itu turut mengetengahkan koleksi lagu hit mereka seperti, Paint My Love, Someday dan That’s Why (You Go Away).

Cik Siti Maisarah Mikhail Adam, amat berpuas hati menyaksikan persembahan.
Cik Siti Maisarah Mikhail Adam, amat berpuas hati menyaksikan persembahan. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Encik Zazali Shahwan (kiri), bersama anaknya, Cik Nur Farhanah, anggap muzik Michael Learns To Rock bukan sekadar menghiburkan, bahkan ibarat ‘teman sepanjang hidup’ sejak usia mudanya.
Encik Zazali Shahwan (kiri), bersama anaknya, Cik Nur Farhanah, anggap muzik Michael Learns To Rock bukan sekadar menghiburkan, bahkan ibarat ‘teman sepanjang hidup’ sejak usia mudanya. - Foto ihsan NUR FARHANAH ZAZALI

Pandangan yang sama turut dikongsi oleh Encik Zazali Shahwan, 60 tahun, pesara, yang menganggap muzik MLTR bukan sekadar hiburan, bahkan ‘teman sepanjang hidup’ sejak usia mudanya.

“Lagu-lagu mereka penuh makna dan berunsur nasihat.

“Paling saya kagum, suara mereka masih kekal seperti dahulu walaupun sudah berpuluh tahun berkecimpung dalam bidang muzik,” katanya yang meminati lagu, That’s Why (You Go Away) dan Take Me to Your Heart.

Minat Encik Zazali terhadap MLTR turut diwarisi oleh anak perempuannya, Cik Nur Farhanah Zazali, 30 tahun, seorang pembantu perkhidmatan pesakit di sebuah klinik di sini.

Cik Nur Farhanah mengakui pada awalnya beliau tidak mengenali kumpulan tersebut, namun mula meminati MLTR selepas menemani bapanya ke konsert pada 2014.

“Selepas konsert itu, saya terus jatuh cinta dengan muzik mereka.

“Lagu seperti, The Actor dan Sleeping Child, masih relevan, diingati ramai dan mudah dikaitkan dengan kehidupan,” kata Cik Nur Farhanah.

Sebagai hadiah hari lahir untuk bapanya, Cik Farhanah membelanjakan sekitar $350 untuk dua tiket konsert kali ini.

Menurut mereka, hampir semua lagu popular didendangkan dan suasana dewan dipenuhi nyanyian bersama penonton.

“Bahagian paling menghiburkan ialah segmen lagu-lagu terkenal apabila MLTR mengajak penonton menyambung lirik lagu.

“Tiga lagu terakhir benar-benar menyentuh perasaan, semua bangun, lampu telefon dinyalakan, dan seluruh dewan menyanyi bersama,” ujar Cik Farhanah.

Mengulas perbezaan muzik era 1980-an dengan 1990-an berbanding lagu masa kini, Cik Siti Maisarah berpendapat lagu-lagu lama mempunyai korus yang lebih mudah diingati dan menjadi lagu wajib dalam katalog lagu karaoke setiap keluarga.

Cik Nur Farhanah pula melihat lagu-lagu lama sebagai karya yang lebih malar segar dan tidak lapuk dek zaman.

“Lagu dulu lebih dekat dengan kehidupan dan boleh dinikmati oleh generasi muda walaupun usianya sudah lama.

“Lagu sekarang pula biasanya popular untuk tempoh tertentu sahaja,” jelas Cik Nur Farhanah.

Selain MLTR, Encik Zazali turut meminati kumpulan era 1980-an seperti, Air Supply, Scorpions dan Deep Purple, manakala Cik Nur Farhanah dan Cik Siti Maisarah menggemari kumpulan boyband seperti Backstreet Boys dan Westlife, yang mengingatkan mereka kepada kenangan manis menyanyi karaoke bersama keluarga dan membuat persembahan adu bakat di sekolah.

“MLTR bukan sekadar buat konsert, mereka membina hubungan yang utuh dengan peminat.

“Dari dulu hingga sekarang, kegigihan mereka membuat persembahan secara langsung dan inilah yang membentuk kesetiaan peminat,” kata Cik Siti Maisarah.

Bagi penulis, menonton konsert itu secara langsung amat memuaskan, bukan sahaja kerana mutu vokal yang masih mantap, malah dek persembahan mereka yang penuh emosi dan profesional.

Setiap lagu disampaikan dengan susunan muzik yang padat, disertai interaksi mesra bersama penonton yang membuatkan suasana terasa dekat dan intim.

Lagu ‘jiwang’ dan malar segar seperti, That’s Why (You Go Away) dan Complicated Heart, mengimbau nostalgia, sementara pencahayaan dan sistem bunyi yang baik menambahkan lagi keseronokan menghadiri konsert.

Secara keseluruhan, pengalaman tersebut meninggalkan kenangan manis dan dianggap sebagai persembahan yang benar-benar berbaloi untuk ditonton secara langsung bersama teman rapat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg