Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Konsert rok rakyat kumpul $172,000 buat penduduk Gaza

‘Suara Utara Rock Untuk Rakyat 2’ anjuran bersama Pertubuhan Akar Umbi (GRO) Woodlands, RLAF dihadiri lebih 700 penonton, pungutan lebih sasaran
Oct 29, 2024 | 7:54 PM
Konsert rok rakyat, Suara Utara Rock Untuk Rakyat 2, anjuran bersama  Pertubuhan Akar Umbi (GRO) Woodlands dan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) memaparkan semangat perpaduan antara bakat, badan berkepentingan dan masyarakat Singapura dalam membantu masyarakat memerlukan di luar negara.
Konsert rok rakyat, Suara Utara Rock Untuk Rakyat 2, anjuran bersama Pertubuhan Akar Umbi (GRO) Woodlands dan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) memaparkan semangat perpaduan antara bakat, badan berkepentingan dan masyarakat Singapura dalam membantu masyarakat memerlukan di luar negara. - Foto ihsan ISK ISKANDAR

Konsert rok rakyat Suara Utara Rock Untuk Rakyat 2, anjuran bersama Pertubuhan Akar Umbi (GRO) Woodlands dan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) di Stadium Woodlands pada 25 Oktober, mengumpulkan $172,000 untuk penduduk Gaza yang mengalami kesulitan dek peperangan.

Inisiatif itu memaparkan semangat perpaduan antara bakat, badan berkepentingan dan masyarakat Singapura dalam membantu masyarakat memerlukan di luar negara.

Konsert usulan Anggota Parlimen GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar, itu memenuhi matlamatnya dan dikendalikan dengan jaya oleh sukarelawan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Woodlands.

Ia dijayakan artis Datuk Adi Putra, Aweera, Fuad Rahman dan isterinya, King Tom, Eiss, Eka Mairiana, Sheila Suratman, Trojan dan Xin4nia.

Sebelum ini, wujud program bulanan yang menggandingkan pemuzik seperti Iskandar Ismail dan Datuk Ramli Sarip dengan bekas pesalah untuk menggalak mereka berhubung semula dengan masyarakat.

Jumlah dana yang dikumpul menerusi konsert itu, yang menarik lebih 700 hadirin, akan disalurkan sepenuhnya ke Gaza melalui RLAF bagi menyediakan dan meluaskan bantuan kemanusiaan buat penduduk memerlukan di wilayah Palestin itu.

Ketika dihubungi Berita Harian pada 29 Oktober, Cik Mariam Jaafar berkata: “Alhamdulillah, jumlah yang dikumpulkan melebihi sasaran $150,000 yang kami tetapkan. Kami berjaya mengumpulkan $172,000. Ini tentunya tidak akan terjadi tanpa sokongan daripada masyarakat, badan-badan terlibat dan pasar raya Sheng Siong, yang menderma $50,000.”

Menurut Cik Mariam, ramai orang sangat prihatin tentang apa yang sedang berlaku di Gaza. 

“Jadi kami fikir mengapa tidak kita cuba melakukan sesuatu untuk meluaskan jaringan bantuan, terutama dalam mengumpulkan dana bagi mangsa perang di Gaza, sekali gus menyokong bantuan kemanusiaan,” ujarnya.

Antara cabaran yang dihadapi beliau dan pasukannya ialah tempoh singkat dan lokasi konsert.

“Salah satu cabaran yang dihadapi ketika mengadakan konsert rok rakyat ini ialah tempat. Kami perlu memastikan tempat yang dipilih dapat menampung ratusan penonton demi meluaskan usaha pengumpulan dana bagi penduduk Gaza.

“Kami diberi waktu yang agak singkat, iaitu sekitar sebulan untuk merancang tempat dan persembahan konsert itu. 

“Mujur kami mendapat Stadium Woodlands, yang besar ruangnya untuk menampung 700 penonton,” katanya lagi.

Dengan menggunakan cogan kata Rock never dies (Rok tidak pernah mati), Cik Mariam berkata irama rok menepati cita rasa setiap lapisan masyarakat, muda mahupun tua.

Lantas, dengan sajian persembahan oleh artis tempatan mahupun di luar Singapura, muzik rok yang malar segar dapat membakar semangat masyarakat untuk bergabung tenaga dalam menyokong misi kemanusiaan di Gaza.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg