Seorang lelaki dibawa ke hospital selepas sebuah kontena jatuh ke atas forklift kendaliannya di Terminal Pasir Panjang pada pagi 25 November.
Pengendali pelabuhan PSA Singapore mengesahkan kejadian itu berlaku di ruang kontena Terminal Pasir Panjang 3 sekitar 6.40 pagi.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dimaklumkan mengenai kejadian itu sekitar 7 pagi dan membawa lelaki berusia 37 tahun dalam keadaan sedar ke Hospital Universiti Nasional (NUH).
Beliau berada dalam keadaan stabil, ujar PSA.
Dalam satu rakaman video yang tular dalam talian, sebuah forklift kelihatan sedang mengangkat sebuah kontena apabila ia terlanggar susunan lima kontena yang diatur meninggi di belakangnya lalu menyebabkan ia tumbang, dengan kontena paling atas menghempap kabin forklift tersebut sebelum jatuh ke tanah.
Di akhir klip video tersebut, seorang lelaki dilihat tergolek keluar ke tanah dari kabin yang rosak itu, lapor The Straits Times.
Dalam satu video lain, satu susunan empat kontena kelihatan menyondong ke arah sebuah forklift, dengan kabinnya tersenget ke belakang.
Sekurang-kurangnya enam anggota bomba dilihat di tempat kejadian, dua daripada mereka memberi rawatan kepada individu yang terbaring di atas tanah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg